KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah berasa tersisih atau dipinggirkan dalam pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan apabila tiada seorangpun daripada tujuh Ahli Parlimennya dilantik sebagai menteri penuh.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menyifatkan dua menteri mewakili Sabah, masing-masing dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) selaku komponen Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah terlalu kecil.
Katanya, jumlah itu tidak seimbang berbanding negeri jiran, Sarawak yang mendapat lima portfolio termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kedua.
“Pembentukan Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan persekutuan ini nampaknya menyaksikan Sabah dipinggirkan dalam pelantikan portfolio, khususnya wakil daripada BN Sabah yang memberikan komiten awal bersama BN Pusat untuk menyokong PH menjadi kerajaan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
“Tiada seorangpun wakil dari BN Sabah dalam Kabinet baharu ini. Berbanding Sarawak, mereka ada lima menteri,” katanya dalam kenyataan media berhubung pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
BN Sabah memenangi paling banyak kerusi Parlimen di Sabah dengan tujuh kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), diikuti GRS (enam), PH (lima), WARISAN (tiga), Bebas (dua) serta masing-masing satu Perikatan Nasional (PN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Malah, BN Sabah turut menyumbang kerusi kedua terbanyak selepas BN Johor daripada 30 kerusi dimenangi BN di seluruh negara pada PRU15.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berharap peminggiran BN Sabah dalam Kabinet baharu itu bukan petanda peminggiran negeri ini daripada perhatian Kerajaan Perpaduan persekutuan, khususnya dalam aspek pembangunan. – BH Online
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost