Pelajar Istimewa KV Keningau Menang SENIA Student Award Berjumlah RM6720

KENINGAU : Brigette Yasin, 17, pelajar berkeperluan khas bermasalah pendengaran dari Kolej Vokasional Keningau, Sabah, telah menjadi rakyat Malaysia yang pertama memenangi anugerah paling berprestij bagi pelajar berkeperluan khas iaitu SENIA Student Award tahun 2022.

Anugerah itu merupakan pengiktirafan tahunan daripada Special Education Network & Inclusion Association (SENIA), persatuan pendidikan khas global yang berpusat di Kanada, kepada seorang pelajar istimewa atas sumbangannya memartabatkan komuniti berkeperluan khas.

Hadiah anugerah itu berupa wang tunai berjumlah USD 1500 yang bersamaan dengan RM 6720, plak, sijil dan slot berucap semasa persidangan dalam talian SENIA yang berlangsung dari 2 sehingga 4 Disember 2022.

Brigette Yasin yang berasal dari Inanam mengambil kursus pembuatan pakaian di kolej tersebut dimana program itu diwujudkan khas untuk pelajar-pelajar istimewa yang berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.

Brigette Yasin terpilih sebagai pemenang anugerah ini kerana pencapaiannya dalam bidang sukan yang meliputi olahraga, permainan berpasukan dan sukan dalaman.

Dia merupakan pemenang pingat emas dalam acara larian pecut 400 meter dan naib johan dalam acara larian pecut 200 meter di kejohanan olahraga bagi pelajar berkeperluan khas peringkat negeri pada tahun 2022.

Dia kemudiannya memenangi pingat perak di peringkat kebangsaan yang berlangsung di Selangor.

Dia juga telah mengetuai pasukan sekolahnya yang terdiri dari pelajar-pelajar berkeperluan khas dalam pertandingan sukan futsal dan tenpin boling antara pasukan-pasukan di negeri Sabah.

Dia berperanan sebagai mentor yang membantu guru-guru pendidikan khas kolej itu melatih dan mengurus pasukan berkeperluan khas dalam latihan sukan yang dilaksanakan sepanjang tahun.

Pengarah kolej itu, Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, meluahkan rasa bangga dengan kemenangan pelajar ini kerana ini merupakan bukti bahawa individu-individu berkeperluan khas memiliki bakat dan kemampuan tersendiri yang wajar diberi pengiktirafan dan penghargaan setaraf dengan mereka yang bukan berkeperluan khas.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik đŸ‘‰ https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *