Pengumuman Barisan Kabinet Baru Ditunda Ke Malam Ini

KUALA LUMPUR : Pengumuman barisan Kabinet baru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sepatutnya diumumkan petang tadi, ditangguhkan ke jam 8.15 malam ini.

Perkara itu dimaklumkan sendiri Perdana Menteri menerusi akaun Fecebook beliau sebentar tadi.

“Insya-Allah jam 8.15 malam ini saya akan mengumumkan saf kepemimpinan baharu Kabinet Kerajaan Perpaduan. Nantikan,” katanya.

BH difahamkan, pengumuman malam ini dibuat dengan mengambil kira waktu perdana di mana pengumuman itu disiarkan secara langsung di semua stesen televisyen serta sosial media.

Turut difahamkan, Perdana Menteri juga perlu menghadiri perbincangan singkat dengan beberapa pihak di pejabatnya petang ini, sebelum mengumumkan barisan Kabinetnya nanti.

Sidang media pengumuman itu sepatutnya berlangsung jam 6 petang ini, dengan petugas media turut dimaklumkan mengenai penangguhan itu pada saat akhir.

Anwar ketika menyampaikan ucapan pada satu majlis di Ipoh, Perak petang tadi mengesahkan akan mengumumkan barisan Kabinetnya hari ini.

Terdahulu pagi tadi, Anwar selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bagi mempersembah senarai barisan Kabinetnya.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dilihat meninggalkan Istana Negara sekitar jam 9.15 pagi selepas kira-kira 40 minit menghadap agong.

Perdana Menteri mempunyai tempoh yang terhad untuk membentuk kerajaannya, susulan Parlimen akan bersidang pada 19 dan 20 Disember ini.

Sidang Parlimen itu akan mengemuka beberapa usul penting termasuk usul memilih Speaker Dewan Rakyat yang baru serta usul undi percaya kepada Perdana Menteri.

Usul seterusnya adalah Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023, khususnya membabitkanperuntukan belanja mengurus kerajaan bagi tahun depan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *