SPR Tak Benar Calon Warisan Tarik Diri Di Padang Serai

Menurut SPR, Mohd Bakhri Hashim masih dianggap sebagai calon Warisan di Parlimen Padang Serai walaupun partinya mengambil keputusan enggan bertanding.

PETALING JAYA: Calon Warisan bagi Parlimen Padang Serai, Mohd Bakhri Hashim, tidak boleh menarik diri selepas namanya disahkan bertanding oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) walaupun partinya mengambil keputusan enggan bertanding.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai, Abdul Bari Abdullah, berkata Bakhri masih dikira sebagai calon walaupun partinya membuat keputusan berkenaan, semalam.

“Tiada dimaklumkan (menarik diri) hari ini (semalam). Tak boleh tarik diri setelah masuk (penamaan). Kertas undi pun kita dah hantar untuk cetak lepas selesai penamaan calon pagi ini (semalam).

“Malah, dalam peraturan tak boleh tarik diri dan kalau tarik diri juga nama beliau tetap ada. Mereka kena rujuk ibu pejabat SPR,” lapor Kosmo, malam tadi.

Terdahulu, Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua Jr, berkata pihaknya memutuskan tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Padang Serai dan telah memaklumkan kepada SPR.

Bakhri yang telah mengesahkan dirinya sebagai calon pada 5 Nov lalu tidak hadir pada proses penamaan calon, pada semalam.

SPR memutuskan PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan kepada 7 Dis susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH) yang juga bekas penyandang kawasan itu, mendiang M Karupaiya.

Kerusi itu menyaksikan pertembungan enam penjuru membabitkan calon PH, Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN); Pejuang; Warisan dan seorang calon bebas. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *