Cermin Diri Dulu Sebelum Minta Zahid Berundur – Bung Moktar

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin

KOTA KINABALU: MCA diminta supaya `mencermin diri sendiri’ terlebih dahulu sebelum meminta Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata gesaan MCA supaya Ahmad Zahid berundur adalah tidak berasas, selain tidak wajar berdasarkan kedudukan parti itu sekarang.

Katanya, MCA perlu bertanyakan diri sendiri mengenai punca yang menyebabkan parti itu hanya menang dua daripada puluhan kerusi yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.

Beliau berkata, adalah tidak adil untuk menuding jari kepada hanya seorang pemimpin sedangkan kesalahan sendiri tidak diakui, selain tindakan MCA itu turut dilihat tidak menghormati institusi presiden selaku pucuk pimpinan dalam BN.

“MCA janganlah gesa itu, ini, macam itu, ini, gesa lagi pengerusi kita berundur apa cerita?

“Mereka tidak sedarkah, hanya menang dua kerusi daripada puluhan kerusi yang diberikan pengerusi kepada mereka, itupun kerusi yang ada ramai pengundi Melayu.

“Cerminlah diri itu terlebih dahulu sebelum buat keputusan. Kita dalam BN ini tetap tenang menghadapi situasi, jangan kalutkan keadaan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Bung Moktar berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan MCA yang mahu Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menggantikan Ahmad Zahid susulan pendedahan surat kepada Yang di-Pertuan Agong yang mendakwa BN menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, MCA mendakwa kandungan surat Ahmad Zahid itu menyimpang daripada keputusan Dewan Tertinggi BN pada 22 November (semalam).

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, semua pihak perlu bertenang menghadapi senario politik semasa negara ketika ini.

“Bagi pihak BN pula, saya berpendapat, kita komited dalam status pembangkang seperti yang diputuskan pucuk pimpinan.

“Akan tetapi sekarang situasinya berbeza pula, kita jadi pembangkang pun kena bising, mahu pro sana pun kena bising, mahu pro sini pun kena bising.

“Jadi saya berharap semua pihak bertenang dan untuk kita dalam BN ini, saya berpendapat, ‘keep calm and trust President’,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *