Ketua Cawangan UPKO Tampil Sokong Jo-Anna

TUARAN: Beberapa Ketua Cawangan UPKO hari ini bertindak keluar parti selepas hilang kepercayaan kepada penyandang kerusi Parlimen Tuaran daripada UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Kesemua pemimpin berkenaan tampil menyatakan sokongan kepada calon Warisan, Jo-Anna Sue Henley Rampas untuk diangkat sebagai Ahli Parlimen Tuaran dalam Pilihan Raya Umum Ke-15, 19 November ini.

Masli Marasin yang sebelum ini merupakan Ketua Cawangan UPKO Kampung Pelangi dan Ketua PDM Tambalang serta Bolong berkata, mereka bersama ahli-ahli UPKO di kawasan masing-masing bertekad untuk memberikan sokongan kepada Jo-Anna demi masa depan yang lebih baik.

“Kami hilang kepercayaan kepada Madius kerana beliau bukan sahaja gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen selama ini, ahli-ahli parti juga tidak dijaga dengan baik.

“Sebab itulah kami beralih sokongan kepada Warisan kerana kami mahukan perubahan yang lebih baik di daerah Tuaran demi masa depan anak cucu kami,” katanya.

Turut menyatakan sokongan kepada Jo-Anna ialah Ketua Wanita PDM Tambalang, Zulianti Idris; Ketua Pemuda UPKO Sabandar, Mohd. Safarina; Ketua Cawangan Lok Batik, Mohd. Fitri Hanafi; Ketua Cawangan Sabandar, Samleyadi Idris dan Ketua Cawangan Mengkabong, Matsini.

Selain mereka, tiga pemimpin parti Pejuang turut menyatakan sokongan kepada Jo-Anna iaitu Ketua DUN Sulaman, Asrul Eddie; Ketua Penerangan Sulaman, Rossaidey Sadilah dan Bendahari Pejuang Sulaman, Azrin Eddie.

Sementara itu, Jo-Anna berkata, pemimpin-pemimpin tempatan itu menyatakan sokongan kepadanya tanpa syarat sebaliknya kerana percaya bahawa hanya Warisan yang mampu memperjuangkan nasib rakyat di situ.

“Saya bersyukur kerana mereka secara sukarela memberikan sokongan kepada Warisan kerana faham bahawa parti ini adalah pejuang sebenar kepada rakyat Sabah.

“Kami tidak menawarkan apa-apa janji atau wang ringgit kepada mereka tetapi kegagalan UPKO selama ini merupakan punca kenapa mereka beralih sokongan kepada Warisan.

“Saya berharap lebih ramai yang akan tampil menyatakan sokongan atau memberikan undi kepada Warisan pada 19 November ini,” katanya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *