Madius Diminta Perjelas Perbelanjaan Peruntukan Kerajaan – Jo-Anna

TUARAN: Calon Parti Warisan (WARISAN) bagi Parlimen Tuaran, Jo-Anna Sue Henley Rampas mengingatkan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau supaya berhenti menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat di kawasan itu.

Sebaliknya, Madius digesa untuk menjelaskan di mmana peruntukan kira-kira RM4 juta yang diterimanya daripada Kerajaan Persekutuan.

Jo-Anna berkata, peruntukan itu adalah untuk rakyat bukannya duit poket wakil rakyat justeru, Madius perlu tampil memberikan perincian perbelanjaan peruntukan tersebut.

Katanya, sehingga hari ini, tiada seorang pun rakyat Tuaran yang tampil menyatakan telah menerima bantuan daripada Madius melalui peruntukan itu terutama penduduk miskin yang berhak menerimanya.

“Kita mahu tahu duit yang telah disalurkan, itu adalah duit rakyat jadi, kita mahu tahu kemana duit itu dibelanjakan oleh Ahli Parlimen Pakatan Harapan,” katanya.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kota Kinabalu daripada DAP, Chan Foong Hin mengaku telah menerima RM4.3 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob..

Peruntukan tersebut dipercayai diberikan kepada setiap pemimpin PH selepas pembangkang menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) bersama kerajaan pada September 2021 untuk memastikan Ismail Sabri kekal sebagai Perdana Menteri.

Ahli Parlimen WARISAN bagaimanapun tidak menyokong MOU tersebut kerana melanggar prinsip perjuangan mereka selaku Ahli Parlimen pembangkang untuk melakukakan semak dan imbang.

Memandangkan PH sanggup menyokong pemimpin daripada UMNO untuk menjadi Perdana Menteri walaupun UMNO telah dikalahkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Jo-Anna berkata, amat pelik apabila Madius yang menjelajah seluruh Tuaran ketika berkempen masih menjanjikan gula-gula kepada rakyat sedangkan kegagalannya sebagai pemimpin telah terserlah, malah pernah menjadi menteri dalam Kerajaan Persekutuan serta Timbalan Ketua Menteri Sabah.

“Semua orang tahu bagaimana mundurnya pembangunan di kawasan Parlimen ini terutama di Tamparuli dan kawasan pedalaman seperti kita tiada pemimpin yang mampu membawa agenda pembangunan.

“Masalah jalan rosak, talian internet lemah, kemudahan infrastruktur tidak cukup, bekalan air tiada serta bekalan elektrik selalu terputus segala-galanya ada di daerah ini kerana pemimpin sebelum ini gagal.

“Sekarang Madius pusing Tuaran berkempen beliaulah harapan untuk daerah ini tetapi hakikatnya kegagalannya lebih terserlah, ada peruntukan berjuta-juta pun rakyat tidak merasa,” tegas Jo-Anna.

Menurut Jo-Anna parti WARISAN sudah tentu mampu memberikan yang lebih baik kepada rakyat di situ jika diberi peluang dalam Pilihan Raya Umum 19 November ini.

Katanya, rakyat tidak perlu takut untuk berubah lebih-lebih kepada WARISAN di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang terkenal dengan sikap pemimpin berjiwa rakyat dalam dirinya.

“Cukup-cukuplah rakyat Tuaran bersama pemimpin yang gagal membawa perubahan kepada daerah ini, beri peluang kepada pemimpin lain yang terbukti mampu menunaikan janji kepada rakyat,” tambahnya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *