Hajiji Yakin Menang Lebih 15 Kerusi Parlimen Di Sabah

Datuk Seri Hajiji Noor

TAWAU : Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor yakin mampu menang lebih 15 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini.

Hajiji yang juga Ketua Menteri berkata, berdasarkan gelombang sokongan terhadap gabungan GRS-BN ketika ini, beliau optimis sasaran itu mampu direalisasikan termasuk merampas semula kerusi Parlimen Tawau dan Kalabakan.

“Kekuatan kerajaan negeri yang ada sekarang adalah atas muafakat rakan komponen dalam GRS-BN, selain mandat daripada rakyat.

“Muafakat ini amat penting kerana kita mahu kerajaan yang stabil untuk memajukan negeri,” katanya berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, di Dewan SRJK (C) Kung Ming Tawau, di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat menggunakan peluang pada PRU15 ini memilih calon yang diketengahkan GRS-BN bagi membawa suara mereka di Parlimen.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazali Ansing berkata, pihaknya sudah menggerakkan jentera kempen secara lebih agresif bagi meraih sokongan pengundi termasuk memastikan ‘kawasan putih’ terus berpihak kepada calon GRS-BN.

Calon GRS bagi Parlimen Tawau, Lo Su Fui, berdepan lima calon lain iaitu penyandang, Datuk Christina Liew (Pakatan Harapan); Chen Ket Chuin (WARISAN); Herman Amdas (PEJUANG); selain dua calon Bebas iaitu Chin Chee Sym dan Mohd Salleh Bacho.

Manakala Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy yang bertanding di Parlimen Kalabakan pula bakal menentang penyandang, Ma’mun Sulaiman (WARISAN); Dr Nur Aini Abdul Rahman (PEJUANG/GTA); Noraini Abdul Ghapur (PKR/PH) dan Muhamad Dhiauddin Hassan (Bebas). -BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *