Sokongan Anifah Jadi Penyuntik PH Sabah, Kata Penganalisis

Anifah Aman berucap di ceramah PKR di Putatan, Sabah pada Sabtu.

KOTA KINABALU: Kehadiran bekas menteri luar Anifah Aman di majlis PKR dan sokongan secara terbuka beliau terhadap Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri menjadi perangsang bagi kempen Pakatan Harapan di Sabah, menurut penganalisis.

Kehadiran Anifah di Putatan pada malam Sabtu boleh membantu meningkatkan sokongan kepada parti yang berpangkalan di Semenanjung di Sabah.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Sabah, Tony Paridi Bagang, berkata Anifah nampaknya telah diterima baik oleh penyokong PKR.

“Ini adalah sesuatu yang menarik dan tidak dijangka. Orang ramai mengalu-alukan kehadiran Anifah.

“Nampaknya sokongan terbuka Anifah terhadap usaha Anwar untuk menjadi perdana menteri membantu memotivasikan penyokong PH di sini dan secara tidak langsung, menambah nilai kepada kempen gabungan itu,” katanya kepada FMT.

Anifah sebelum ini adalah ahli veteran Umno yang juga Ahli Parlimen Kimanis empat penggal. Beliau meninggalkan Umno pada September 2018 selepas Barisan Nasional (BN) hilang kuasa dan menjadi presiden Parti Cinta Sabah pada 2020.

Bagang bagaimanapun berkata, pasti wujud pelbagai persepsi terhadap motif Anifah, terutamanya kerana beliau adalah adik kepada bekas ketua menteri Sabah Musa Aman.

“Rakyat akan sentiasa membuat spekulasi mereka sendiri. Kedua-dua, Anifah dan Musa adalah ahli politik veteran dan yang pasti, mereka mempunyai cara mereka sendiri dalam gerakan politik,” katanya.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, pada zahirnya, Anifah dan Anwar telah memutuskan untuk mengetepikan perbezaan masa lalu untuk membuka lembaran baharu pada masa depan.

“Politik sentiasa berubah dan mungkin bagi mereka, adalah baik untuk menjadi idealistik dan juga bersedia untuk disalah tafsir. Saya rasa idea Anifah mungkin akan menjadi lebih jelas kelak,” katanya.

Beliau juga percaya dengan kehadiran Anifah, ia boleh membantu mendapatkan sedikit sokongan calon PH, khususnya di Kimanis, di mana Anifah pernah menjadi Ahli Parlimen antara 2004 dan 2018.

PCS bertanding 72 kerusi ketika pilihan raya negeri (PRN) Sabah 2020 dan kalah kesemuanya, termasuk Anifah yang tewas di kerusi Bongawan kepada calon Warisan Daud Yusof.

Tidak sampai sebulan, Anifah berkata partinya akan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana calon yang diletakkan pada pilihan raya umum oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memerintah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *