Jangan ‘Tegakkan Benang Basah’, Bung Beritahu Rubin

Bung Moktar Radin berkata ADUN Kemabong Rubin Balang sering ‘wujud’ dalam program membabitkan anaknya sedangkan beliau sebagai ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

KOTA KINABALU : Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Bung Moktar Radin berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Rubin Balang tidak perlu ‘menegakkan benang basah’ selepas beliau menafikan terbabit berkempen untuk anaknya, Riduan Rubin bertanding sebagai calon bebas di Tenom.

Katanya, Rubin sejak dari hari penamaan calon telah mengiringi Riduan selain turut dilihat bersama anaknya ketika penyerahan borang keahlian parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) kepada presiden parti Peter Anthony, baru-baru ini.

“Matlamat kemasukan Riduan bersama KDM sudah tentu ingin menarik penyokong mereka seterusnya mengekang kemaraan calon Barisan Nasional (BN), Jamawi Jaafar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Rubin yang tidak berpuas hati dengan gesaan supaya beliau dikenakan tindakan termasuk dipecat daripada jawatan sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).-ADVERTISEMENT-Ads by 

Bung mendakwa, Rubin sering ‘wujud’ dalam program membabitkan anaknya sedangkan beliau sebagai ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tahu yang gabungan berkenaan telah bersetuju untuk bekerjasama dengan BN dan calon yang diletakkan di Tenom adalah daripada BN.

“Perbuatan beliau (Rubin) sering bersama calon bebas sudah tentu menimbulkan persepsi negatif kepada penyokong GRS dan BN, apa lagi calon merupakan anak sendiri, ibarat pepatah “air dicincang tidak akan putus”.

“Rubin bukan saja memungkiri perjanjian yang termeterai antara BN dan GRS malah turut tidak menghormati nasihat pengerusi GRS Hajiji Noor supaya semua pemimpin memberikan sokongan kepada calon-calon BN dan GRS yang bertanding pada PRU15 (pilihan raya umum ke-15),” katanya.

Sehubungan itu, Bung yang juga timbalan ketua menteri menyeru pengundi di Tenom supaya menolak calon bebas dan pemimpin yang bersikap ‘talam dua muka’.

“Tiada untungnya kita menyokong calon bebas dan jika pun ditakdirkan menang, mereka tidak dapat membentuk kerajaan serta tidak mempunyai hala tuju yang jelas.

“Jika rakyat di Tenom memilih calon bebas, mereka tidak ubah diwakili oleh parti pembangkang di mana segala peruntukan untuk pembangunan di kawasan berkenaan tidak akan diperolehi, berbeza jika mereka menyokong BN sebagai sebuah parti yang mampu membawa kestabilan politik dan kemakmuran negara,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *