Jangan Perlekeh Pemimpin Borneo, Kami Juga Layak Jadi PM, Kata Azis Jamman

Calon Warisan bagi kerusi Sepanggar Azis Jamman berkata pemimpin politik dari Sabah dan Sarawak juga berkebolehan menjadi perdana menteri.

KOTA KINABALU : Pemimpin Sabah dan Sarawak juga layak diangkat menjadi perdana menteri, bukan hanya Khairy Jamaluddin, kata Ketua Penerangan Warisan Azis Jamman.

Katanya, pemimpin Sabah dan Sarawak juga mempunyai kredibiliti untuk menerajui negara sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Calon Parlimen Sepanggar itu berkata, jangan perlekeh kemampuan pemimpin di kedua-dua negeri kerana sokongan Sabah dan Sarawak amat diperlukan bagi membentuk kerajaan persekutuan.

“Kalau di Sungai Buloh ada KJ, di Sepanggar ada DAJ (Datuk Azis Jamman)…Apa dia orang ingat kita di Sabah dan Sarawak tidak layak. Jangan perkecilkan kami di Borneo ini.

“Ayuh semua rakyat Sabah dan Sarawak kita buktikan dalam PRU15, kedua-dua negeri memastikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat dilaksanakan segera,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Azis berkata, Sabah tidak memerlukan jawatan timbalan perdana menteri yang tidak bersifat kekal seperti diumumkan dalam manifesto Umno/Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH).

“Jika Sabah dan Sarawak jadi perdana menteri sudah tentu MA63 akan dilaksanakan serta berjalan serta merta. Kita tidak lagi payah menunggu lama,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *