ADUN Kemabong Langgar Syarat Kerjasama, Hajiji Diminta Ambil Tindakan

Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin mendakwa Rubin Balang menjadi dalang calon bebas Parlimen Tenom yang juga anaknya, Riduan Rubin menyertai PKDM.

KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang juga Ketua Menteri, Hajiji Noor diminta mengambil tindakan disiplin terhadap ADUN Kemabong, Rubin Balang yang didakwa melanggar syarat kerjasama gabungan itu dengan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin mendakwa Rubin selaku ketua Bersatu Tenom, menjadi dalang calon bebas Parlimen Tenom yang juga anaknya, Riduan Rubin menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat hari ini.

Beliau berkata, tindakan Rubin itu bertentangan perjanjian GRS-BN, selain tidak mencerminkan semangat setiakawan antara dua gabungan berkenaan.

“Tindakan disiplin wajar diambil terhadap pemimpin yang melanggar perjanjian itu, termasuk menamatkan pelantikan mereka sebagai pengerusi atau apa-apa jawatan dalam mana-mana agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).-ADVERTISEMENT-Ads by 

“Tindakan yang melanggar perjanjian ini memberi gambaran negatif terhadap kerjasama GRS-BN, selain akan merosakkan sokongan kepada calon BN, Jamawi Jaafar di kerusi Parlimen Tenom,” katanya dalam kenyataan.

Bung berkata, tindakan disiplin perlu disegerakan sebagai peringatan kepada semua ahli dan pemimpin GRS-BN supaya tidak memandang ringan kerjasama mereka.

Katanya, kemasukan Riduan dalam PKDM, parti pro-GRS, dipercayai untuk mendapatkan sokongan parti diketuai ADUN Melalap, Peter Anthony yang pencalonannya di Tenom ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya pada 5 Nov lalu.

Terdahulu, Riduan hari ini dilaporkan menyerahkan borang keahlian PKDM kepada Peter dalam satu majlis ringkas di Tenom. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *