‘Masalah Daerah, Negeri Miskin Selesai Jika PH Memerintah’,

Anwar ketika hadir program Jelajah Mega PH di Sabah.

TUARAN : Masalah daerah atau negeri termiskin akan diselesaikan dengan segera jika Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika di Parlimen beliau sengaja membaca 20 daerah termiskin di negara ini banyak di kawasan Sabah.

“Saya sengaja baca sebab itu bila kita perintah, Insya-ALLAH 20 November ini, tak payah kata Sabah, mana daerah termiskin majoriti di Sabah atau Kelantan atau Sarawak, kita mesti selesaikan dengan secepat mungkin.

“Orang miskin di Sabah adalah masalah nasional, bukan masalah Sabah. Sekolah yang teruk di Sabah adalah masalah negara yang mesti diselesaikan oleh negara ini,” katanya ketika berucap ketika Jelajah Mega Harapan 2022 di sini pada malam Isnin.

Beliau berkata, pilihan raya kali ini bukan untuk negeri tetapi ia adalah untuk negara dan Persekutuan di mana parti kecil tidak akan mampu membentuk kerajaan.

“Parti-parti kecil di Sabah mereka boleh buat apa, parti kecil boleh pecahkan undi pembangkang tetapi tidak boleh ‘deliver’.

“Kami boleh menang kerajaan Persekutuan untuk Sabah, Sarawak, jangan disebabkan sentimen negeri. Ingat sokong yang bagi pecah-pecah ini akhirnya menang sebelah sana. Kita kena pastikan kita kuat dan bersatu, setiap undi ada pilihan sama ada mahu Perikatan Nasional (PN), BN atau PH.

“Kalau mahu tolak PN dan BN dan semua parti-parti kecil yang lain sebab mereka tidak boleh membentuk kerajaan, PH ada harapan untuk tubuh kerajaan,” katanya. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *