PRU15: Warisan Umum Tiga Calon Muda Di Sabah

Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal – Gambar Facebook Shafie Apdal

KOTA KINABALU : Warisan malam ini mengumumkan tiga calon muda untuk mewakili parti itu bertanding di kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata parti itu meletakkan seorang peguam Chen Ket Chuin, 28, di Tawau manakala jurutera kimia Alex Thien, 31, di Sandakan dan penganalisis penyelidikan Amanda Yeo, 29, di Kota Kinabalu.

“Kita letak calon muda yang mempunyai latar belakang yang baik, berpengetahuan dan ‘well exposed’… kita mahu tunjukkan kepada rakyat Malaysia di Sabah bahawa anak muda begini mampu membentuk dasar di Parlimen, beri idea untuk memastikan negara maju,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam ‘Reset Sabah’ di Likas malam ini.

Ditanya mengenai cabaran ketiga-tiga anak muda dalam merampas kerusi Parlimen terbabit yang bukan dimenangi Warisan pada PRU14, Mohd Shafie berkata apa yang penting adalah semua pihak terutama pengundi sama-sama membantu mereka menang demi melaksanakan perubahan untuk negara.

“… apa yang penting rakyat Malaysia di Sabah mengundi pemimpin yang betul, yang muda supaya jangan hanya panaskan bangku, namanya Ahli Parlimen tetapi tidak lantang bersuara,” katanya.

Sebelum Parlimen dibubarkan, kerusi Tawau disandang oleh Pengerusi Pakatan Harapan Sabah Datuk Christina Liew yang mewakili PKR manakala Vivian Wong di Sandakan mewakili DAP dan Chan Foong Hin, juga mewakili DAP, di Kota Kinabalu. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *