Kereta Terbakar, Lelaki Ditemui Rentung

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas ditemui rentung di dalam kereta miliknya dalam kejadian di Taman Iramanis di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia 63 tahun ditemui dalam sebuah kereta Toyota Spacio dipercayai milik mangsa yang terbakar hampir 95 peratus.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, polis menerima panggilan berhubung kebakaran sebuah kereta pada jam 9.10 pagi sebelum memaklumkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

Pegawai Pengganti Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Mudi Pangiran berkata sepasukan pegawai dan anggota bomba bersama sebuah jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 5 kilometer dari balai.

Turut berada di lokasi, unit forensik bomba dan unit K9 anjing pengesan bomba.

Api berjaya dikawal jam 9.27 pagi manakala operasi ditamatkan jam 12.09 tengahari.

“Pasukan operasi memaklumkan terdapat seorang lelaki berada di dalam kenderaan terbabit sebaik api berjaya dipadamkan bomba.

“Siasatan awal unit forensik JBPM memaklumkan, api dipercayai berpunca daripada tempat duduk sebelah pemandu.

“Mangsa ditemui rentung di tempat duduk pemandu dan kenderaan juga terbakar hampir 95 peratus keseluruhan,” katanya seperti dilaporkan media.

Mohd Zaidi berkata siasatan masih diteruskan dan mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *