Kemunculan Ghafur Iringi Anwar Ibrahim cetus Persoalan

Abdul Ghafur ditemui pemberita selepas hadir program Jelajah Pengerusi PH di Tawau, hari ini.

TAWAU: Kemunculan bekas Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghafur Salleh mengiringi Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu majlis di sini, menimbulkan persoalan mengenai status bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu dalam UMNO.

Malah, bekas Ketua UMNO Bahagian Kalabakan itu sendiri mendakwa beliau juga keliru dengan status keahliannya dalam parti berkenaan, tetapi percaya namanya sudah digugurkan selepas perubahan kepemimpinan bahagian itu sejurus Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Saya ahli UMNO seumur hidup, tetapi apabila satu kumpulan ambil alih bahagian (kepemimpinan UMNO Bahagian Kalakaban), mereka buang saya daripada UMNO Kalabakan,” katanya ketika ditemui pada program Jelajah Pengerusi PH dihadiri Anwar, hari ini.

Apa yang mengelirukan, beliau yang juga bekas Menteri Kewangan Sabah dan bekas Timbalan Pengerusi UMNO negeri serta pernah mengetuai UMNO Bahagian Tawau, berkata jika betul dibuang daripada parti, tindakan itu tidak melalui proses sepatutnya.

“Sebenarnya, mereka (bahagian) tidak ada kuasa, hanya Majlis Kerja Tertinggi (MKT) ada kuasa untuk buang,” kata Abdul Ghafur, 79, dan mempertikaikan tindakan UMNO Kalabakan yang disifatkannya tindakan sesuka hati tanpa merujuk perlembagaan parti.

“Saya ada merujuk kepada Biro Perhubungan UMNO Pusat untuk siasatan, namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan.

“Jadi, sekarang saya bolehlah dianggap orang yang tidak ada parti. Saya bebas menyatakan sokongan kepada mana-mana parti yang saya suka,” katanya.

Serentak itu, beliau menyatakan sokongan terhadap calon PKR yang bakal bertanding di kerusi Parlimen Tawau dan Kalabakan pada PRU15. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *