Wetrom Dilantik Timbalan Presiden KDM, Akan Tanding Di Kota Marudu

Peter Anthony (tengah) mengumumkan Wetrom Bahanda (kiri) dan Liaw Kit Siong akan mewakili KDM bertanding di kerusi Parlimen Kota Marudu serta Kota Kinabalu pada PRU15.

KOTA KINABALU: ADUN Bandau, Wetrom Bahanda memutuskan untuk menyertai parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) selepas mengambil kira suara akar umbi di Kota Marudu.

“Saya membuat keputusan keluar dari Bersatu kerana melihat keadaan di Kota Marudu dan aspirasi rakyat di situ.

“Pada mulanya, saya ingin menyertai parti itu (Warisan) seperti yang kamu semua tahu, tetapi selepas mendengar suara di peringkat akar umbi yang mengatakan KDM adalah parti terbaik yang mampu mengangkat rakyat Sabah, saya membuat keputusan untuk menyertai parti ini.”

Ahad lalu, Wetrom mengumumkan beliau meninggalkan Bersatu dan GRS untuk menyertai Warisan, selain akan bertanding di kerusi Parlimen Kota Marudu atas tiket Warisan.

Kelmarin, beliau sekali lagi membuat kejutan apabila dikatakan menyertai KDM dan sumber memaklumkan Wetrom menemui Presiden KDM, Peter Anthony pada Selasa lalu serta mengisi borang menyertai parti itu.

Hari ini, KDM melantik Wetrom sebagai timbalan presidennya untuk kuota Muslim dan calonnya di kerusi Parlimen Kota Marudu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Selain Wetrom, ahli perniagaan, Liaw Kit Siong turut dipilih sebagai calon KDM di kerusi Parlimen Kota Kinabalu.

Perkara itu diumumkan Peter dalam sidang media selepas menghadiri majlis makan malam bersama KDM Kota Kinabalu, di sini.

Peter bagaimanapun masih berteka-teki dengan jumlah kerusi yang akan ditandingi KDM pada PRU15.

“Buat masa ini, kami belum putuskan (jumlah dan kerusi mana akan ditandingi), kita tunggulah, tidak lama lagi penamaan calon. Bagaimanapun, yang pasti setakat ini ialah seperti yang saya umumkan tadi (Kota Kinabalu) dan juga Wetrom di Kota Marudu.”

Beliau turut mengumumkan KDM akan bertanding menggunakan logo “bunga rafflesia” pada PRU15.

“Ini penampilan pertama kami, kita tengoklah macam mana nanti,” katanya sambil menambah tidak salah KDM menguji kekuatannya sebagai parti baharu memandangkan PRU15 hanya membabitkan kerusi Parlimen di Sabah.

Hubungan KDM, GRS

Peter menegaskan parti itu masih mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Hajiji Noor.

“Kita masih mesra GRS, seperti yang saya katakan sebelum ini. Ketua Menteri, Hajiji Noor seorang pemimpin yang tiada tolak bandingnya.

“Cuma di peringkat parti kita membuat keputusan untuk bertanding kerana ini pilihan raya Parlimen, di peringkat negeri, kita tetap akan sokong GRS,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *