Pegawai Polis Didakwa Minta, Terima Rasuah RM12,000

TAWAU : Seorang pegawai polis didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta serta menerima suapan berjumlah RM12,000 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada tahun lepas.

Mohamad Soffi Jalal, 40, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu, namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Dia  yang bertugas sebagai Inspektor Siasatan dan Perundangan dituduh secara rasuah meminta suapan wang tunai RM5,000 daripada seorang individu untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan membuat aduan palsu di Pejabat Pegawai Penyiasat IPD Lahad Datu pada 28 Feb tahun lepas.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Soffi didakwa secara rasuah memperoleh suapan wang tunai RM7,000 daripada individu sama di lokasi sama pada 4 Mac tahun lepas.

Pertuduhan dilakukan masing-masing mengikut Seksyen 16 (a)(B) serta Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Dis sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Saharom manakala tertuduh diwakili peguam Edward Paul. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *