Selepas Umum Masuk Warisan, Wetrom Sertai PKDM Pula?

Gambar Wetrom Bahanda (kiri) dikatakan mengisi borang keahlian Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) dan bersalaman dengan Peter Anthony (berbaju putih) tular di media sosial. (Gambar media sosial)

KOTA KINABALU: Selepas mengumumkan keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menyertai Warisan, ADUN Bandau Wetrom Bahanda sekali lagi membuat kejutan apabila dikatakan menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM).

Sumber memberitahu, Wetrom berjumpa dengan Presiden PKDM, Peter Anthony, di sini, semalam, seterusnya mengisi borang menyertai parti itu.

“Ya, dia datang berjumpa dengan Datuk (Peter), dan menyatakan yang beliau komited untuk menyertai PKDM, beliau kemudian mengisi borang.

“Bagaimanapun, Wetrom mengatakan yang dia akan membuat pengumuman mengenainya (menyertai PKDM) dalam tempoh terdekat, kita tunggulah,” katanya.-ADVERTISEMENT-Ads by 

Terdahulu, gambar Wetrom mengisi borang keahlian PKDM dan bersalaman dengan Peter viral di media sosial, hari ini.

FMT cuba mendapatkan pengesahan mengenai perkara itu daripada Wetrom dan PKDM.

PKDM adalah parti ditubuhkan Peter bersama seorang lagi ADUN Limbahau, Juil Nuatim, awal tahun ini, selepas mereka keluar Warisan.

Parti itu juga merupakan parti mesra kerajaan dan telah memohon menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun sehingga kini status permohonannya belum ditentukan.

Sabtu lalu, Wetrom mengumumkan keluar Bersatu dan GRS untuk menyertai Warisan, selain mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Kota Marudu atas tiket Warisan.

Beliau juga telah menemui Presiden Warisan Shafie Apdal, di Jalan Gaya, dekat sini, pada Ahad untuk menyatakan hasratnya secara rasmi.

Shafie selepas itu berkata, beliau mengalu-alukan hasrat Wetrom, namun ia bukan jaminan Wetrom akan menjadi calon Warisan di Kota Marudu, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pada pilihan raya negeri (PRN) 2020, Wetrom bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau dengan majoriti 3,363.

Beliau juga dilantik sebagai pembantu menteri kepada ketua menteri selepas GRS membentuk kerajaan negeri. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *