Lagi ADUN GRS Bakal Sertai Warisan Shafie Enggan Layan ‘Khabar Angin’

Shafie Apdal berkata, Warisan kini merupakan parti tunggal dengan bilangan ADUN yang paling ramai iaitu 18 orang.

KOTA KINABALU: Selepas ADUN Bandau Wetrom Bahanda mengumumkan keluar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menyertai Warisan, beberapa lagi wakil rakyat gabungan itu dikhabarkan bakal mengambil tindakan sama.

Presiden Warisan Shafie Apdal ketika ditemui, berkata beliau ada mendengar mengenai perkara itu, namun enggan percaya dengan ‘khabar angin’ yang belum diketahui kesahihannya.

“Itu yang saya dengar tapi, saya pun tidak tahu mengenainya. Kadang-kadang orang kata, jangan percaya dengan apa yang kamu dengar dan lihat kerana sebahagiannya mungkin tidak benar.

“Saya akan berkata sesuatu mengenainya bila tiba masanya,” katanya ketika ditemui pada program jelajah presiden dan pelancaran jentera pilihan raya Parlimen Putatan semalam.

Terdahulu, tular di media sosial mengatakan empat lagi ADUN GRS bakal keluar dari gabungan berkenaan untuk menyertai Warisan.

Antara yang dikaitkan akan keluar GRS dan menyertai Warisan adalah seorang daripada ADUN dalam kawasan Parlimen Kudat.

Seorang pemimpin Warisan di Kudat ketika dihubungi FMT, memberitahu yang mereka juga ada mendengar mengenai perkara itu, namun belum dapat dipastikan kesahihanya.

“Saya pun dengar begitu, tapi belum ada kepastian,” katanya.

FMT juga sedang cuba menghubungi ADUN yang dikaitkan dengan khabar angin itu.

Sementara itu, Shafie berkata, Warisan kini merupakan parti tunggal dengan bilangan ADUN yang paling ramai iaitu 18 orang.

“Sekarang kita ada 18 ADUN jadi bayangkan, kita mempunyai jumlah ADUN yang terbesar, bukan Bersatu, bukan Umno, bukannya PBS (Parti Bersatu Sabah) atau STAR. Mereka hanya bergabung bersama-sama untuk membentuk kerajaan.

“Bila kita lihat perlembagaan sepatutnya kita (menang), tapi tidak apa, masanya akan tiba,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *