KOTA KINABALU : Dua pemimpin Warisan membidas komponen Pakatan Harapan, PKR dan DAP, ketika pertelingkahan antara parti itu dan pakatan pembangkang berlarutan.
Ketua Penerangan Warisan Khairuddin Daud berkata desakan PKR supaya Anwar Ibrahim dinamakan sebagai perdana menteri patut dipersalahkan susulan kejatuhan Pakatan Harapan 22 bulan selepas pilihan raya umum 2018.
Khairuddin berkata desakan berterusan PKR supaya presidennya dilantik ke jawatan tertinggi menyebabkan PH hilang fokus dalam melaksanakan manifesto mereka.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan Timbalan Ketua Penerangan PKR Razeef Rakimin bahawa Presiden Warisan Shafie Apdal panik dan menepis kegagalannya sendiri sebagai ketua menteri Sabah dengan menyalahkan PH.
Shafie dilaporkan berkata tidak ada gunanya menyokong parti nasional seperti DAP dan PKR, kerana pemimpin mereka gagal menunaikan hak yang dijanjikan Sabah ketika PH memerintah.
Khairuddin berkata Razeef terpaksa akur bahawa PKR tidak diterima baik di Sabah, walaupun sudah sekian lama bertapak di negeri itu.
“Malah pada pilihan raya negeri 2020, dengan logo sendiri, PKR hanya menang dua daripada tujuh kerusi yang diberikan kepada mereka, berbanding DAP (bertanding di bawah Warisan Plus) yang memenangi lebih banyak kerusi,” kata Khairuddin.
Tambahnya, Warisan juga berjaya menarik lebih banyak undi popular berbanding Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.
“Punca kegagalan PH adalah disebabkan pergolakan dalaman mereka.”
Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua Jr mengecam DAP kerana menikam belakang Warisan dengan cuba menandatangani perjanjian politik dengan Gabungan Rakyat Sabah yang memerintah selepas pilihan raya negeri pada September 2020.
Walaupun Shafie telah memasukkan DAP dalam kabinet negerinya, parti itu masih bersedia untuk bekerjasama dengan gabungan yang cuba menjatuhkan kerajaan Warisan Plus pada mulanya, kata Padua
“Jadi di manakah integriti dan kredibiliti yang mereka perkatakan dan siapakah kuda Trojan yang sebenar di sini?” katanya. Tambahnya, Warisan menarik diri daripada MoU gencatan senjata kerana mahu memastikan integritinya.
Semalam, Pengerusi DAP Sabah Frankie Poon menuduh Shafie mengkhianati bekas sekutunya dan memberikan BN dan PN kelebihan, menggelar Warisan sebagai “kuda trojan” yang akan memecah belahkan undi pembangkang. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost