Majoriti Harga Tiket RM400 Ke Sabah, Sarawak Sempena Tahun Baharu Cina, Kata Mavcom

Timbalan Menteri Pengangkutan Henry Sum Agong, berkata syarikat penerbangan bersetuju menambah kapasiti penerbangan dari semasa ke semasa bergantung kepada permintaan. – Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Majoriti harga tiket penerbangan sehala kelas ekonomi ke wilayah Sabah dan Sarawak pada musim perayaan Tahun Baharu Cina tahun depan dijual bawah RM400, pada 20 dan 21 Jan 2023, menurut pemerhatian Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Timbalan Menteri Pengangkutan Henry Sum Agong, berkata pemerhatian yang dilaksanakan pada 14 Sept itu turut mendapati harga tambang sehala bagi tempoh puncak itu dijual antara RM210 hingga RM1,400.

Sementara itu, harga tambang penerbangan sehala kelas ekonomi bagi tempoh penerbangan dari 18 hingga 26 Jan 2023 adalah antara RM100 hingga RM1,235.

“Kementerian Pengangkutan melalui Mavcom akan meneruskan pemantauan terhadap harga tiket penerbangan bagi semua laluan penerbangan domestik termasuk laluan-laluan di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Ramli (PN-Dungun), Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), dan Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) yang meminta kerajaan memastikan harga tiket penerbangan Semenanjung dari/ke Sabah dan Sarawak mampu dibeli terutama pada musim perayaan.

Mengulas lanjut, Henry berkata, bagi menangani masalah harga tiket penerbangan yang tinggi, Kementerian Pengangkutan telah mengadakan perbincangan dengan Mavcom dan syarikat penerbangan domestik bagi memastikan harga tiket penerbangan ditawarkan kompetitif.

“Hasil perbincangan tersebut, syarikat penerbangan bersetuju untuk menambah kapasiti penerbangan dari semasa ke semasa bergantung kepada permintaan,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *