PENAMPANG: Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau akan melepaskan jawatannya sebagai presiden Upko dan mengumumkan tidak bertanding pada pemilihan parti yang berlangsung pada 15 dan 16 Okt ini.
Katanya, ia sekali gus memberi laluan kepada Naib Presiden Upko Ewon Benedick yang bertanding untuk jawatan itu menjadi presiden yang baharu.
“Dengan ini saya mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan presiden Upko bagi penggal yang akan datang ini.
“Dengan ini juga, saya ingin umumkan bahawa presiden Upko yang baharu akan diterajui oleh naib presiden yang juga ADUN Kadamaian, Ewon Benedick,” katanya dalam sidang media khas di ibu pejabat parti itu.-ADVERTISEMENT-Ads by
Madius berkata, keputusan itu telah dipersetujui dan mencapai kata sepakat untuk dilaksana selepas menilai tahap kesediaan pemimpin baharu yang dipilih untuk menggalas tanggungjawab menerajui Upko.
“Kita sedia maklum bahawa keadaan politik negara kini tidak stabil dan PRU15 semakin hampir. Atas dasar tersebut, saya melihat bahawa Upko perlu menyusun strategi baharu untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat dalam keadaan politik yang tidak menentu ini.
“Untuk itu, Upko akan mengetengahkan barisan kepimpinan baharu dengan perspektif segar dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip asas perjuangan parti,” katanya.
Madius berkata, beliau yakin dan percaya kepimpinan baharu bakal diterajui Ewon akan memastikan Upko terus fokus dan komited sebagai parti tempatan memperjuangkan hal ehwal politik dan kepentingan rakyat.
“Lebih-lebih lagi dalam menempuh senario politik negara yang mana keterlibatan lebih ramai pengundi baharu dan muda melalui pendaftaran automatik Undi18,” katanya.
Madius sebelum ini memangku jawatan presiden Upko daripada Bernard Dompok dari 2014 hingga 2018 dan pada tahun itu juga, beliau dipilih secara rasmi sebagai presiden parti berkenaan.
Dalam pada itu, Madius turut mengumumkan beliau dilantik sebagai presiden kehormat Upko.
“Semua ahli-ahli majlis tertinggi, ketua-ketua bahagian, dan Presiden Kehormat Bernard Dompok telah sebulat suara memberi kepercayaan kepada saya untuk memegang jawatan presiden kehormat Upko,” katanya. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost