Pelitup Muka Tidak Lagi Wajib Dalam Pesawat

Keputusan itu dibuat berikutan penilaian risiko dan penambahbaikan terhadap pengudaraan dalam kabin pesawat. – Foto Rawpixel

KUALA LUMPUR : Pemakaian pelitup muka dalam pesawat tidak lagi diwajibkan dan ia berkuat kuasa serta-merta, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) masih menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka dalam pesawat jika mereka berisiko tinggi, mengalami sebarang gejala Covid-19, atau melancong dengan individu berisiko tinggi seperti kanak-kanak atau warga emas.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berikutan penilaian risiko dan penambahbaikan terhadap pengudaraan dalam kabin pesawat.

Pada 7 Sept, Khairy mengumumkan pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan di tempat tertutup namun pemilik premis mempunyai hak untuk memutuskan sama ada pelanggan perlu memakai atau sebaliknya.

Khairy berkata, pesawat juga dilengkapi penapis high-efficiency particulate absorbing (HEPA) untuk mengeluarkan bahan cemar bawaan udara.

Beliau juga berkata, keputusan itu dibuat memandangkan beban kes Covid-19 yang rendah terhadap sistem penjagaan kesihatan awam ketika ini.

“Kelonggaran ini juga selaras dengan syor kesihatan daripada negara seperti Kesatuan Eropah, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Singapura.”

Bagaimanapun, beliau berkata, keperluan memakai topeng muka dalam pesawat adalah tertakluk kepada syarat yang ditetapkan negara dikunjungi. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *