KOTA KINABALU : Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak akan bubar sekiranya Parlimen dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.
Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS- BN) masih mempunyai baki tiga tahun untuk menerajui negeri itu.
“Semua cakap-cakap ini (DUN Sabah akan dibubarkan) adalah tidak benar, kita masih mempunyai baki tiga tahun untuk mentadbir Sabah.
“Apa yang penting ketika ini adalah kita akan terus memperkuatkan GRS, gabungan yang mewakili rakyat berbilang kaum di Sabah,” katanya ketika berucap sempena Jelajah GRS Batu Sapi, di Sandakan, hari ini.
Sementara itu, Hajiji berkata, kesemua parti komponen dalam GRS telah bersetuju untuk menggunakan logo gabungan itu bagi menghadapi PRU15
“Insya-Allah, kita akan mencapai kemenangan pada PRU15 nanti,” katanya.
Beliau yang juga pengerusi GRS turut menyeru agar kerjasama dengan BN terjadi pada pilihan raya akan datang demi memastikan negeri itu terus membangun.
“Jika calon di (Parlimen) Batu Sapi adalah daripada GRS, kita tahu BN akan kerja kuat bagi memastikan kemenangan kita, begitu juga jika calon BN yang terpilih, kita akan pastikan kemenangan untuk mereka kerana kita adalah kerajaan GRS-BN,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost