Negara Perlu Dr M Jadi PM Kali Ke-3, Kata GTA

Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Mahdzir Ibrahim berkata Dr Mahathir Mohamad masih relevan kerana mempunyai pengaruh dan kebijaksanaan mentadbir negara.

KUALA LUMPUR : Dr Mahathir Mohamad akan ditampilkan sebagai calon perdana menteri buat kali terakhir mewakili Gerakan Tanah Air (GTA), mengambil kira kebijaksanaan dan pengaruhnya mengurus krisis rumit walaupun tokoh itu sudah berusia.

Timbalan Ketua Penerangan GTA, Mahdzir Ibrahim, berkata Mahathir sendiri menganggap penglibatannya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sebagai satu “jihad dan ibadat” demi memulihkan negara daripada kepimpinan rosak dan merosakkan.

“Jika diizinkan Allah, apabila GTA diberikan mandat oleh rakyat untuk menjadi kerajaan, kepakaran Mahathir sebagai negarawan masih diperlukan untuk memimpin pentadbiran kerajaan buat kali ke-3, dan mungkin yang terakhir.

“Sungguhpun kita memahami usia dan kudrat yang ada padanya tidak lagi sama seperti kekuatan beliau 10-20 tahun lalu, namun kebijaksanaan dan pengaruh beliau khususnya dalam mengurus pelbagai krisis yang rumit dan terdesak, masih lagi relevan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Mahathir mengakui masih ramai pihak yang mahu beliau mengemudi negara sekali lagi.

Pengerusi Pejuang itu bagaimanapun berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

“Saya tak bersedia tapi banyak orang suruh, jadi waktu ini saya tak buat keputusan apa-apa. Saya tak tolak saya tak terima,” katanya ringkas ketika ditanya adakah beliau bersedia menjadi perdana menteri kali ketiga.

Mahdzir ketika mengulas lanjut berkata, Mahathir tidak akan dibiarkan berseorangan kerana didukung pemimpin politik dan tokoh profesional yang amanah, bersih dan cekap.

“Kepada rakyat, inilah peluang yang julung kali muncul di mana kita sebagai pengundi diberi peluang untuk memilih wakil rakyat daripada kalangan Melayu Islam yang profesional, amanah, bersih dan cekap untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan yang lemah dan kotor ini,” katanya.

Katanya, dengan adanya gabungan pimpinan inklusif dan berkualiti, ia sekali gus mempermudahkan lagi peranan Mahathir mentadbir kerajaan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *