Jangan Terpedaya Helah Salah Semenanjung, Rafizi Beritahu Rakyat Sabah & Sarawak

Rafizi Ramli berkata beliau percaya rakyat Sabah dan Sarawak berhak mendapat hasil yang adil, bukan hanya dikuasai kelompok sama yang hanya mengkayakan diri sendiri.

KUALA LUMPUR : Rakyat Sabah dan Sarawak dinasihatkan tidak termasuk dalam perangkap politik wilayah sempit mengadu domba untuk melawan Semenanjung, khususnya membabitkan pengagihan kekayaan negara.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, mendakwa demi pakatan untuk kekal berkuasa, ahli politik di Semenanjung menutup mata penyelewengan rakan politik di wilayah itu, menyebabkan rasuah dan penyelewengan menjadi darah daging.

Di Malaysia Timur, katanya, golongan yang mengaut kekayaan daripada amanah kuasa ini juga ‘sama naik’ dengan mengambil kesempatan menuding jari kepada ‘Semenanjung’ sebagai punca kepada segala masalah di Sabah dan Sarawak.

“Itu jalan mudah untuk menutup kesilapan dan pecah amanah mereka dengan berselindung di sebalik sentimen kewilayahan yang memecah-belah persaudaraan rakyat,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Malaysia.-ADVERTISEMENT-Ads by 

Rafizi berkata, beliau percaya rakyat di Sabah dan Sarawak berhak mendapat hasil yang adil, bukan hanya dikuasai kelompok sama yang hanya mengkayakan diri sendiri.

“Masalah kemiskinan di Sabah dan Sarawak bukanlah soal agihan peruntukan kerajaan persekutuan semata-mata tetapi ia soal amanah dan ekosistem yang perlu ada di peringkat Sabah dan Sarawak serta undang-undang Persekutuan Malaysia yang perlu tegas menghukum mereka,” katanya.

“Mana-mana sang penguasa di Sabah, Sarawak (dan rakan kongsi mereka di Semenanjung) yang makan rasuah dan pecah amanah (termasuk ahli politik dan penjawat awam) mesti diperangi dan dihukum.”

Rafizi juga mahu rakyat di Semenanjung sedar bahawa adalah tidak adil untuk melayan Sabah dan Sarawak sebagai negeri-negeri, kerana ia bercanggah dengan semangat penubuhan Malaysia satu ketika dahulu.

“Saya percaya kedudukan Sabah dan Sarawak di dalam Persekutuan Malaysia adalah sebagai wilayah-wilayah (bukannya negeri-negeri) seperti semangat asal penubuhan Malaysia dahulu.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita adalah serumpun, bersaudara dan berada dalam satu kapal dalam perjuangan menentang sang penguasa yang bermain emosi rakyat demi kepentingan peribadi mengumpul kekayaan mereka,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *