Kesetiaan Jentera BN Sabah Pastikan Kemenangan Pada PRU15

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan (lima, kiri) bersama Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan (dua, kanan), Ketua Bahagian UMNO Tawau, Ghazali Ansing (empat, kiri) dan Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Kurup (tiga, kiri) menghadiri Himpunan Lautan Biru Barisan Nasional (BN) di Padang Bandaran Tawau.

TAWAU, 4 Sept : Barisan Nasional (BN) dan UMNO menuntut kesetiaan semua jentera parti di Sabah untuk memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan berkata perkara itu dituntut bukan sahaja daripada pemimpin tetapi seluruh akar umbi BN serta UMNO di Sabah.

“Kesetiaan bukan semata-mata beri semangat tetapi menjadi bukti apabila diterjemah kepada prestasi pada hari ini, ini formula Sabah untuk jadi pencetus kita ambil balik negeri ini. Kesetiaan bukan hanya di mulut, bibir tetapi ambil iktibar dan terbukti soal kesetiaan dalam tempoh empat tahun ini.

“Kalau kita percaya pada omong atau kata-kata pada 2018 itu, UMNO habis di Sabah, terkubur, namun pada hari ini terbukti UMNO, Barisan Nasional subur, mekar, sebab itu BN dan UMNO pusat tidak pernah ragu dengan Sabah,” katanya pada Himpunan Gelombang Biru anjuran BN Kalabakan dan Tawau di sini hari ini.

Orang ramai membanjiri Padang Bandaran Tawau sempena Himpunan Lautan Biru Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN Sabah Datuk Yakub Khan berkata BN dan UMNO tidak ketandusan pemimpin untuk menyambung perjuangan parti sekali gus memastikan kemenangan kerana dalam perjuangan bukan pemimpin yang diperjuangkan tetapi mendukung parti. 

Beliau yang merasmikan program hari ini berkata kehadiran lebih 7,000 penyokong pada himpunan itu menggambarkan BN masih diterima serta dekat di hati masyarakat. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *