Kereta Bertembung Dan Terbakar, Tiga Keluarga Selamat

Anggota bomba memadam kebakaran kereta Proton Saga di Batu 47, Jalan Nabawan Sepulut, Keningau. – Foto BOMBA

KENINGAU: Tiga sekeluarga terselamat selepas kereta Proton Axia dinaiki bertembung dengan sebuah lagi kenderaan di Jalan Nabawan Sepulut, Batu 47, di sini, malam tadi.

Dalam nahas jam 9.15 malam itu, kenderaan mangsa bertembung dengan sebuah Proton Saga yang kemudian terbakar.

Kenderaan mangsa bagaimanapun tidak terbakar, manakala pemandu Proton Saga tidak dapat dikesan.

Semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Keningau oleh orang awam untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan 10 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 9.25 malam.

“Setiba di lokasi kejadian, tiada mangsa berada di lokasi manakala sebuah kenderaan Proton Saga terbakar sepenuhnya.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan api kebakaran dapat dikawal pada jam 10.25 malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim, berkata pasangan suami isteri dan anak masih menerima rawatan di Hospital Keningau.

Katanya, pemandu sebuah lagi kenderaan yang terbakar pula belum dapat dikesan.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) dan siasatan masih diteruskan,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *