Keputusan Guna Pelitup Muka Akan Diumum – KJ

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan akan mengumumkan keputusan keperluan untuk melonggarkan pemakaian pelitup muka, dalam masa terdekat.

“Saya akan buat keputusan tidak lama lagi, perkara itu sudah dibincangkan, beri saya masa beberapa hari,” katanya pada sidang selepas Majlis Pelancaran Hab Teknologi Kesihatan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) di sini, hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan bersedia mengkaji keperluan untuk melonggarkan pemakaian pelitup muka seperti dilaksanakan Kerajaan Singapura.

Tanpa memperincikan tempoh, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kajian mengenainya akan dilaksana.

Ia susulan kenyataan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan pakar epidemiologi menggesa supaya KKM membuat keputusan berhubung kelonggaran pemakaian pelitup muka berdasarkan

beberapa indikator COVID-19 di negara ini yang terus menunjukkan penurunan, termasuk kemasukan pesakit ke fasiliti kesihatan.

Baru-baru ini, Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu dibangkitkannya pada mesyuarat bersama KKM yang diwakili Timbalan Menterinya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Muhyiddin dilaporkan berkata, ketika ini juga sudah ada kebiasaan baharu dalam kalangan rakyat mahupun warga asing di negara ini untuk memakai pelitup muka tanpa dipaksa.

Justeru, katanya, jika sudah menjadi kebiasaan, sewajarnya KKM tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka, sebaliknya masih boleh terus digunakan jika penduduk negara ini berasa lebih selamat. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *