Jadi Komponen GRS Atau Tidak, PKDM Terus Berjuang, Kata Peter Anthony

Peter Anthony (duduk empat dari kiri) bergambar bersama ketua bahagian dan penyelaras DUN Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) selepas mengadakan mesyuarat di Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Peter Anthony, berkata parti itu sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk permohonan menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak diterima, menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, beliau yakin Ketua Menteri Hajiji Noor yang juga pengerusi GRS mempunyai pertimbangan sewajarnya berhubung permohonan parti itu.

Katanya, sehingga kini PKDM akan terus memberi sokongan penuh kepada kerajaan negeri pimpinan Hajiji serta kerajaan persekutuan diterajui Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Secara terbuka saya ingin nyatakan, dari segi pentadbiran di peringkat negeri, Hajiji seorang ketua menteri yang belum ada tolak tandingnya, saya percaya beliau ada pertimbangan sewajarnya (berhubung permohonan PKDM menyertai GRS).-ADVERTISEMENT-Ads by 

“Sama ada diterima atau tidak (menyertai GRS), kita akan teruskan perjuangan dan sebagai sebuah parti kerdil, kami akan muktamadkan bila sampai masanya iaitu dalam mesyuarat pimpinan tertinggi yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ketua bahagian dan penyelaras kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Terdahulu, Peter yang juga bekas naib presiden Warisan menubuhkan PKDM Februari lalu, susulan pengundurannya bersama sejumlah pemimpin parti berkenaan hujung tahun lalu.

Beliau juga sebelum ini mengumumkan memohon menyertai GRS namun sehingga kini, permohonan mereka belum mendapat kata putus gabungan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Peter berkata, PKDM bercadang bertanding di kawasan Parlimen Tenom dan Papar, selain mengintai beberapa lagi kerusi lain pada PRU15.

“Ini juga kita akan putuskan dalam masa terdekat termasuk beberapa kawasan seperti Kota Kinabalu dan beberapa lagi kerusi telah kita kenal pasti.

“Bagaimanapun, sudah pasti Tenom kita akan tanding, begitu juga Papar kerana parti ini mempunyai wakil rakyat di situ,” katanya.

Peter merupakan ADUN Melalap, yang berada dalam kawasan Parlimen Tenom, manakala timbalannya, Juil Nuatim adalah ADUN Limbahau, dalam kawasan Parlimen Papar.

Terdahulu, Peter turut mengumumkan kemasukan ahli perniagaan yang juga Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Sabah (SATTA) Winston Liaw ke PKDM.

“Ini satu lagi perkembangan positif dalam PKDM kerana kita mendapat sokongan serta penyertaan daripada kaum Tiong Hua. Winston akan menjadi ketua bahagian parti ini di Kota Kinabalu dan saya yakin lebih ramai lagi masyarakat Tiong Hua akan menyertai kita,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *