Walau Berada Di Penjara Kajang, Najib ‘Hadir’ Mesyuarat UMNO, Parti Lawan

Najib Razak mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada Selasa lalu selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya dan mengesahkan pensabitan atas tujuh tuduhan membabitkan dana RM42 juta SRC International.

KUALA LUMPUR : Meskipun berada di Penjara Kajang, Najib Razak “hadir” di perhimpunan beberapa parti utama hari ini, ketika paluan PRU15 semakin kuat dan nasib bekas perdana menteri itu masih menjadi perbualan hangat dalam kalangan masyarakat.

Umno, Perikatan Nasional (PN) dan Warisan antara mengadakan perhimpunan atau konvensyen, di mana kes mahkamah bekas perdana menteri itu disentuh secara langsung atau tidak langsung, tidak kira sama ada oleh ahli Umno mahupun pemimpin parti lawan seperti PN.

Turut mengupas isu Najib ialah musuh ketatnya, Dr Mahathir Mohamad yang berucap pada himpunan nasional Parti Barisan Jemaah Se-Malaysia.

Selasa lalu, Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya dan mengesahkan pensabitan atas tujuh tuduhan membabitkan dana RM42 juta SRC International.-ADVERTISEMENT-Ads by 

Mesyuarat pelbagai parti politik utama hari ini menunjukkan impak kuat bekas perdana menteri di persada politik tempatan, khususnya sokongan akar umbi Umno terhadap Ahli Parlimen Pekan itu.

Di Dewan Merdeka, ribuan akar umbi dan pemimpin Umno hadir untuk taklimat khas mengenai apa disifatkan parti itu sebagai ketidakadilan yang mengakibatkan pemenjaraan anak sulung Abdul Razak Hussein itu.

Antara yang memberi taklimat ialah setiausaha agung parti Ahmad Maslan, bekas menteri Azalina Othman dan peguambela Najib, Shafee Abdullah.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno, tidak hadir pada perjumpaan itu kerana dikatakan mempunyai atur cara di Bera.

Pelbagai taklimat mengenai Najib pada perhimpunan itu membakar semangat ahli yang hadir dengan spekulasi bertebaran Ismail menimbang untuk membubarkan Parlimen bagi mengadakan PRU15 seawal November ini.

Ketika Najib didokong dan dipertahankan di mesyuarat khas Umno itu, lain pula ceritanya di konvensyen Perikatan Nasional di Serdang.

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin tidak merujuk kepada Najib secara langsung, namun berkata tidak adil bagi mana-mana parti politik mempersoalkan badan kehakiman apabila pemimpin mereka dijatuhkan hukuman.

Beliau juga mendakwa Umno mahu PRU disegerakan hanya untuk memperoleh kuasa politik bagi menyelamatkan pemimpin parti lain yang berdepan kes mahkamah.

Dalam pada itu, di Kuala Lumpur, Mahathir menafikan beliau berpengaruh atas hakim dalam perbicaraan Najib.

Beliau juga menyelar Najib kerana mendakwa tidak memperoleh perbicaraan adil kerana hakikatnya ialah, beliau diberikan sepenuh ruang membela diri sepanjang kesnya yang berlarutan empat tahun.

Di Penampang, Presiden Warisan Shafie Apdal mengelak menyelami isu Najib, namun menggesa semua pihak menghormati keputusan mahkamah yang membawa kepada pemenjaraan bekas perdana menteri itu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *