Sabah Mula Rancangan Kawal Selia Bekalan Elektrik, Gas Sendiri

Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri dijangka mengambil semula abah Electricity Sdn Bhd dengan liabiliti sifar, sebaik saja Pelan Transformasi SESB selesai dalam tempoh lima hingga tujuh tahun dari sekarang.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor memulakan rancangan untuk negeri itu mengawal selia bekalan elektrik dan gasnya sendiri dengan menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Sabah (SEC) serta mengambil alih Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Pejabat Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan semalam berkata, Hajiji mempengerusikan bersama siri mesyuarat jawatankuasa dengan Menteri Tenaga dan Sumber Asli (Ketsa), Takiyuddin Hassan di Putrajaya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed di Kuala Lumpur.

“Dalam mesyuarat pertama jawatankuasa pemandu (bersama Takiyuddin) mengenai penyerahan kuasa bagi mengawal selia bekalan elektrik dan SESB kepada kerajaan negeri, telah dipersetujui Ketsa akan menerima cadangan kerajaan negeri untuk mengambil alih SESB melalui dua peringkat kepada Kabinet Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

Hajiji yang juga menteri kewangan Sabah berkata, kerajaan negeri perlu menubuhkan SEC terlebih dahulu agar pihak berkuasa kawal selia bekalan elektrik boleh ditukarkan daripada kerajaan persekutuan kepada negeri itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri dijangka mengambil semula SESB dengan liabiliti sifar, sebaik saja Pelan Transformasi SESB selesai dalam tempoh lima hingga tujuh tahun dari sekarang.

Justeru, katanya, penyelarasan dan kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan bagi memastikan proses undang-undang dapat dilaksanakan dengan lancar.

Sementara itu, Hajiji turut menyentuh program dan projek yang dicadangkan pelaksanaannya di Sabah di bawah Pelan Pembangunan Penjanaan Bekalan Kuasa Sabah 2022-2041.

Beliau berkata, kerajaan negeri mencadangkan projek Loji Janakuasa Kitaran Tergabung 100MW yang telah dibuka tender, dibina di Kimanis yang mempunyai sumber gas mencukupi dan sedia ada.

Kerajaan negeri turut menyokong permohonan New Sabah Hydro bagi cadangan pembangunan Loji Hidroelektrik 170MW Konsep “Run of River” di Sungai Maligan dan Hulu Sungai Padas, Sipitang, yang dibentang dan diluluskan Kabinet Sabah.

Katanya, cadangan projek New East Gas 135MW wajar dihentikan sekiranya tarif tidak kompetitif, manakala projek Southern Link Distribution perlu dilaksanakan dalam satu pakej, bukannya secara berperingkat melalui pembiayaan langsung di bawah Rancangan Malaysia ke-12 menjelang 2027.

“Kerajaan negeri turut menyarankan kerajaan persekutuan menghentikan Saluran Paip Trans-Sabah kerana ketiadaan bekalan gas. Malah, kontraktor itu telah menerima bayaran bagi projek berkenaan untuk melaksanakan projek Southern Link,” katanya.

Hajiji juga menggesa projek menaik taraf grid pengagihan kuasa dilaksanakan segera dari Segaliud, Sandakan ke Dam Road, Lahad Datu dan Mengalong, Sipitang ke Lawas, Sarawak.

Kerajaan negeri turut memohon harga gas di loji janakuasa bebas sedia ada dikekalkan pada kadar minimum RM6.40 bagi setiap juta unit termal Britain sehingga konsesi berakhir bagi mengelakkan penurunan mendadak kos operasi yang akan memberikan impak langsung ke atas tarif elektrik Sabah.

Mengulas mesyuarat jawatankuasa pemandu bersama Mustapa mengenai penyerahan bagi pengurusan dan pengawalan sumber gas, Hajiji berkata, langkah itu akan membolehkan Sabah terlibat secara langsung dalam aktiviti minyak dan gas demi kepentingan negeri dan rakyat.

Katanya, langkah kerajaan negeri mengambil alih pengurusan dan kawalan bekalan gas di Sabah sejajar pelbagai inisiatif berkaitan yang dirancang dan dilaksanakan di negeri itu.

“Kerajaan negeri komited memastikan industri gas di Sabah akan terus membangun melalui dasar berkaitan tanpa mengabaikan keselamatan dan kecekapan perkhidmatan kepada pelanggan serta memastikan tiada gangguan operasi semasa tempoh peralihan itu.” – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *