Mohamaddin Ketapi Dan Ahli Parlimen Libaran Sertai PBM?

Ahli Parlimen Lahad Datu, Mohamaddin Ketapi (kiri) dan Ahli Parlimen Libaran, Zakaria Edris dikatakan akan menyertai PBM, menurut sumber.

KOTA KINABALU : Dua Ahli Parlimen dari Sabah, termasuk seorang daripada Bersatu, dijangka menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) esok.

Menurut sumber rapat dengan PBM, Ahli Parlimen Lahad Datu, Mohamaddin Ketapi dan Ahli Parlimen Libaran, Zakaria Edris dari Bersatu akan menyertai PBM dan bertanding atas tiket parti itu pada PRU15.

“Pengumuman akan dibuat pada Ahad,” katanya kepada FMT.

Mohamaddin sebelum ini keluar Bersatu dan mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Parlimen bebas. Beliau adalah bekas menteri pelancongan, seni, dan budaya semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

Zakaria antara empat Ahli Parlimen Umno Sabah yang keluar daripada parti itu untuk menyertai Bersatu pada tahun 2019.

Penyertaan Mohamaddin dan Zakaria dalam PBM dijangka menambah jumlah Ahli Parlimen parti itu. Ketika ini PBM diwakili Larry Sng (Julau), Steven Choong Shiau Yoon (Tebrau), dan Zuraida Kamaruddin (Ampang) di Dewan Rakyat.

PBM juga mempunyai lima ADUN iaitu Haniza Talha (Lembah Jaya), Daroyah Alwi (Sementa), Leong Cheok Keng (Malim Nawar), A Sivasubramaniam (Buntung), dan Paul Yong Choo Kiong (Tronoh).

Parti itu dikatakan mempunyai 200,000 ahli di 162 bahagian seluruh negara.

PBM telah menghantar permohonan menyertai Barisan Nasional dan menunggu keputusan daripada gabungan itu.

Presiden PBM, Larry Sng sebelum ini menegaskan parti itu akan menyokong kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob seterusnya memastikan jumlah majoriti yang ada terus kekal.

PBM juga akan mempertahan semua kerusi semasa yang dimenangi wakil rakyatnya pada PRU14.

Sementara itu, beberapa pemimpin PBM ketika dihubungi enggan mengesahkan spekulasi Mohammaddin dan Zakaria akan menyertai mereka.

Bagaimanapun, PBM memaklumkan bahawa Presiden Larry Sng akan mengadakan sidang akhbar bersama Mohammaddin esok. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *