158 Ketua UMNO Bahagian Desak PRU Segera

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir mesyuarat tergempar melibatkan Presiden dan Timbalan Presiden serta Ketua-Ketua Bahagian UMNO di Menara Dato Onn semalam.

KUALA LUMPUR: Majoriti Ketua UMNO Bahagian bersetuju supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan secepat mungkin.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, hasrat itu disampaikan 158 Ketua Bahagian yang hadir kepada pucuk pimpinan untuk memutuskannya antara pimpinan tertinggi UMNO Top 5.

“Kami mahu pilihan raya diadakan dalam kadar yang paling segera. Kenapa? Tak payah sebutlah.

“Keputusan ini akan disampaikan kepada Perdana Menteri oleh Setiausaha Agung, tapi hari ini mengambil keputusan daripada Ketua UMNO Bahagian,” katanya ketika ditemui di Menara Dato’ Onn hari ini.

Terdahulu, satu perjumpaan tergempar khas antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan ketua-ketua bahagian, yang disifatkan penting dan mustahak.

Jemputan yang dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyebut Presiden UMNO dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta agar Ketua-Ketua UMNO Bahagian hadir ke satu pertemuan khas.

Jamal turut berkata, kesemua Top 5 hadir pada mesyuarat itu kecuali Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan seorang lagi Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau dalam masa yang sama turut menjelaskan sebab Ketua Bahagian dipanggil secara mengejut.

“Kami ditaklimatkan dan memberi pandangan serta pendapat mengenai PRU15 yang mungkin diadakan dalam waktu terdekat. Tak diberitahu.

“Tujuan kami dipanggil ini untuk melihat kesiapsiagaan jentera pilihan raya di tiap-tiap bahagian. Dan apakah keperluan daripada rakan-rakan, kami sampaikan kepada pucuk pimpinan untuk memastikan pilihan raya akan diadakan dalam waktu terdekat. Mungkin sebulan, seminggu, bila-bila masa.

“Alhamdulillah hasrat kami rakan-rakan daripada 158 bahagian, akhirnya perkara inilah disampaikan kepada pucuk pimpinan dan kami berdialog untuk menyampaikan hasrat kepada pucuk pimpinan supaya jelas apa yang perlu pucuk pimpinan berikan kepada kami dan apa yang perlu dilakukan untuk hadapi pilihan raya,” katanya.  – UTUSAN

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *