Tak Puas Hati Tidak Dicalonkan, UMNO Adakan Mesyuarat Tergempar Ketua Bahagian Hari Ini

Menurut sumber, kira-kira 150 ketua bahagian dijangka hadir pada mesyuarat ‘pertemuan segera dan mustahak’ itu.

KUALA LUMPUR: Perjumpaan “tergempar” semua ketua bahagian Umno di Menara Dato Onn pagi ini dijangka panas selepas dikhabarkan beberapa ketua bahagian tidak berpuas hati kerana tidak dicalonkan dalam pilihan raya umum akan datang.

Sumber Umno memberitahu FMT, keadaan tegang itu menyebabkan Presiden Ahmad Zahid Hamidi “pening kepala”, dan meminta semua ketua bahagian hadir ke ibu negara pagi ini.

“Urusan calon (PRU) ni ada yang bertekak-tekak. Malam tadi (mesyuarat) di bahagian-bahagian bergaduh…biasalah. Sebab apa? Dah tradisi Umno sejak berpuluh tahun dulu bila dia jadi ketua bahagian, dia (yang) jadi calon Ahli Parlimen.

“Tapi sekarang bila ketengah muka baru (ada) tak puas hati. Ada yang dah kalah PRU14 pun nak bertanding lagi. Dah kalah, kalah la…ini yang Datuk Seri Zahid pening kepala, tapi dia strict (tegas),” kata sumber itu.

Katanya, kira-kira 150 daripada 191 ketua bahagian dijangka hadir pada mesyuarat “pertemuan segera dan mustahak” itu, bagaimanapun dipercayai Ketua Bahagian Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman; Ketua Bahagian Ketereh, Annuar Musa; dan Ketua Bahagian Arau, Shahidan Kassim tidak akan muncul.

Jemputan kepada ketua bahagian itu diedarkan oleh Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan malam tadi dengan menyifatkan pertemuan yang dijadual bermula jam 11 pagi itu “sangat penting”.

“DS Presiden dan Timbalan Presiden Umno (Mohamad Hasan) meminta agar ketua-ketua Umno bahagian hadir ke satu pertemuan khas berhubung satu perkara yang sangat penting demi masa depan parti yang mesti disegerakan,” menurut jemputan yang dilihat FMT.

Antara ketua bahagian Umno yang dilihat hadir adalah Ketua Umno Kinabatangan, Bung Moktar Radin; Ketua Umno Lenggong, Saarani Mohamad; Ketua Umno Johor Bahru, Shahrir Samad. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *