Pencemaran Sungai Padas: Bekalan Air Di Labuan Terganggu

Penduduk taman mengambil bekalan air bersih daripada tangki statik yang disediakan oleh Jabatan Bekalan Air (JBA) Labuan ketika tinjauan di Taman Perumahan Sungai Bedaun kelmarin.

LABUAN : Bekalan air kepada lebih 70,000 penduduk di 25 kampung di pulau bebas cukai ini terganggu sejak dua hari lepas apabila loji rawatan air (LRA) Lawa Gadong ditutup buat sementara, selepas pencemaran dikesan Sungai Padas di Beaufort, Sabah.

Hampir 20,000 akaun pengguna terjejas susulan pengesanan pencemaran di ‘muka sauk’ Sungai Padas, yang merupakan sumber air mentah untuk loji berkenaan.

Pembekal utiliti Bahagian Air Labuan (Bahagian Bekalan Air Labuan – BBAL) dalam kenyataan dua hari lepas berkata pengendali LRA Lawa, Gadong MK Services yang melihat kesan minyak di ‘muka sauk’ Sungai Padas, terpaksa menutup operasi buat sementara waktu untuk kerja-kerja pembersihan.

Paras tangki air utama di pulau ini termasuk di Zon Industri Rancha-Rancha telah menurun secara drastik kecuali kawasan di Sg Pagar/Sg Miri dan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Sehingga hari ini pengguna Labuan di 25 kampung dan Zon Industri Rancha-Rancha masih belum menerima bekalan air dan terpaksa bergantung kepada bekalan daripada tangki air BBAL.

Kenyataan kedua BBAL semalam memaklumkan bahawa pengendali LRA Lawa Gadong telah menjalankan analisis mengikut standard piawaian air minuman terhadap air mentah di ‘muka sauk’ Sungai Padas dan mendapati kesan minyak tidak lagi kelihatan.

“Susulan perkembangan terkini keadaan air di ‘muka sauk’ Sungai Padas River, operasi LRA Lawa Gadong yang membekalkan air kepada tangki pengagihan air Pulau Enoe di sini telah bersambung kembali.

BBAL berkata pemulihan bekalan air di kawasan terjejas akan mengambil masa 48 hingga 120 jam (dua hingga lima hari). – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *