49 Sekolah, 15,531 Pelajar Terjejas Banjir Di Sabah

Antara sekolah yang dilanda banjir di Pitas.

KOTA KINABALU: Sebanyak 49 sekolah membabitkan 15,531 pelajar terjejas akibat banjir di tujuh daerah di Sabah setakat ini.

Jumlah itu termasuk enam sekolah menengah akibat banjir yang melanda Pitas, Beluran, Kudat, Kota Marudu, Beaufort, Sipitang dan Lahad Datu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Abidin Marjan, berkata Beluran mencatatkan jumlah sekolah paling banyak terjejas iaitu 18 diikuti Kota Marudu 16 sekolah.

Katanya, enam sekolah terjejas akibat banjir di Pitas, empat sekolah di Beaufort, masing-masing dua sekolah di Kudat dan Lahad Datu serta sebuah sekolah terjejas di Sipitang.

“Kebanyakan sekolah terjejas sama ada disebabkan kawasan sekolah dilanda banjir atau laluan ke sekolah terputus atau tidak dapat dilalui akibat banjir.

“Selain itu, beberapa sekolah juga terpaksa ditutup kerana dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak sembilan sekolah dijadikan PPS di Pitas, Beluran, Kudat dan Kota Marudu.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Rukom dan SK Dandum di Pitas; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol di Beluran; SK Sikuati dan SK Lok Yuk Sikuati di Kudat; serta SK Ranau, SK Taritipan, SMK Tandek dan SMK Bengkongan di Kota Marudu.

Sementara itu, katanya setakat hari ini sebanyak 32 sekolah dikenal pasti turut dilanda banjir iaitu termasuk laluan dan kawasan sekolah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *