Lebih 30 Jam Terapung Di Laut, Nelayan Hilang Ditemui Selamat

Nelayan yang hilang di perairan Karambunai di Kota Kinabalu semalam, ditemui selamat oleh tentera laut tengah hari tadi. Foto PDRM

KOTA KINABALU: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Karambunai, di sini, terpaksa berpaut pada tong plastik selama lebih 30 jam di lautan sebelum berjaya diselamatkan, hari ini.

Mangsa Morris Dulin, 69, yang hilang sejak 6 pagi semalam ditemui kira-kira jam 1.45 tengah hari tadi dalam keadaan terapung dan berpaut pada tong bekas minyak di kawasan perairan Sepanggar.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah, mengesahkan penemuan mangsa oleh Kapal KD Sunda, milik tentera laut.

“Mangsa ditemui selamat dalam keadaan masih berpaut pada tong bekas minyak di tengah laut di perairan Sepanggar oleh tentera laut.-ADVERTISEMENT-Ads by 

“Mangsa kemudian dibawa balik ke pangkalan tentera laut untuk tindakan pengesahan dan rawatan,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian 6 pagi semalam, dua rakannya berusia 41 dan 42 tahun ditemui selamat manakala mangsa hilang selepas bot dinaiki karam di perairan Karambunai.

Ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Kampung Mengkabong, Tuaran dilaporkan ke laut untuk memukat ikan dengan menggunakan sebuah bot.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang ke jeti, cuaca bertukar buruk sehingga mengakibatkan bot dinaiki ketiga-tiga mangsa karam.

Dua rakan mangsa yang dikatakan memakai jaket keselamatan berjaya berenang ke pantai untuk mendapatkan bantuan dan melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Operasi mencari dan menyelamat dijalankan polis, polis marin, Pasukan Gerakan Udara (PGU), bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan bot nelayan awam. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *