Mangsa Banjir Sabah Akan Terima Bantuan Kewangan

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, James Ratib (tengah) melawat PPS di Dewan Komuniti Kota Marudu malam tadi.

KOTA MARUDU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, James Ratib berkata keluarga terjejas akibat banjir di beberapa daerah di negeri ini akan turut diberikan bantuan kewangan.

Katanya, bantuan akan diagihkan secepat mungkin bagi meringankan beban keluarga yang terjejas akibat bencana alam itu.

“Saya telah dimaklumkan selain bantuan-bantuan segera berbentuk bakul makanan, kerajaan juga akan memberikan bantuan wang tunai, belum pasti berapa jumlahnya, saya akan maklumkan kemudian.

“Apa yang penting kita mahu meringankan beban keluarga yang ditimpa malang. Bantuan akan diagihkan secepat mungkin bagi meringankan beban keluarga terjejas akibat banjir yang berlaku sejak beberapa hari lalu,” katanya ketika ditemui di Dewan Komuniti Kota Marudu yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), semalam.

Sementara itu, James berkata, pihaknya akan mempercepatkan bantuan makanan ke semua PPS bagi memastikan mangsa banjir mendapat makanan yang sempurna dan cepat.

Katanya, setakat ini sebanyak kira-kira 15,000 pek makanan disediakan kerajaan untuk diagihkan kepada semua mangsa termasuk bagi mereka yang terputus hubungan akibat banjir.

James Ratib beramah mesra dengan mangsa banjir di PPS Dewan Komuniti Kota Marudu.

“Seperti kita sedia maklum, tidak semua mangsa dipindahkan ke PPS kerana ada mangsa berada di kawasan yang terputus hubungan akibat banjir ini. Kita akan mencari alternatif dengan bantuan pasukan keselamatan bagi memastikan mereka turut mendapat bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir dipindahkan di Sabah terus meningkat iaitu seramai 6,843 setakat jam 8 pagi tadi.

Semua mangsa membabitkan 2,412 keluarga di lima daerah terjejas iaitu Kota Marudu, Paitan, Pitas, Telupid dan Tawau. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *