KOTA KINABALU: Aktiviti luncur udara bagi seorang lelaki di Bukit Kokol, Manggatal, dekat sini, berakhir dengan detik mencemaskan apabila dia tersangkut di atas pokok setinggi 30 meter, sebelum diselamatkan bomba dengan bantuan kelab dron, semalam.
Insiden melibatkan seorang lelaki berusia 35 tahun yang hilang kawalan ketika melakukan aktiviti berkenaan.
Dalam kejadian itu, mangsa cedera ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, jam 12.12 tengahari.
Katanya, sepasukan 22 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dikerah ke lokasi kejadian yang terletak 17 kilometer dari balai.
Pasukan bomba terpaksa berjalan kaki sejauh 5 kilometer dari jalan utama ke lokasi kejadian.
“Seorang lelaki yang melakukan aktiviti luncur udara cedera ringan di badan selepas payung terjun dikendalikannya hilang kawalan dan tersangkut di atas pokok setinggi 30 meter.
“Mangsa berjaya diturunkan pada jam 10.13 malam oleh pasukan bomba dengan bantuan dron daripada kelab Dron D’Bayu,” katanya dalam kenyataan hari ini hari ini.
Menurutnya, mangsa dibawa ke pos kawalan sejauh 2 kilometer dari lokasi mangsa tersangkut di pokok sebelum diberikan rawatan oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Mangsa kemudiannya dihantar ke rumah penginapannya.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan jam 12.15 tengah malam tadi. – BorneoToday
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost