Warisan ‘Kaut Untung Lebih’ Jika Kerjasama Dengan PBS, Kata Penganalisis

Presiden PBS Maximus Ongkili sebelum ini pernah menyatakan parti itu sedia bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Warisan sekiranya mendatangkan kebaikan kepada rakyat Sabah.

KOTA KINABALU: Warisan akan mendapat lebih manfaat berbanding Parti Bersatu Sabah (PBS) sekiranya dua parti itu menjalinkan kerjasama politik bagi menghadapi PRU15, kata penganalisis.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, Warisan akan ”mengaut untung lebih” jika kerjasama berlaku kerana mereka dapat menarik lebih ramai pengundi dari suku kaum Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).

Beliau berkata, PBS sebaliknya akan menerima tamparan hebat jika bekerjasama dengan Warisan kerana parti itu sebelum ini lantang menolak pemberian pas sementara Sabah (PSS) kepada pendatang asing tanpa izin (Pati) yang cuba diperkenalkan Warisan sebelum ini.

“Sudah pastinya menguntungkan Warisan kerana mereka akan memperolehi undi KDMR menerusi PBS, tetapi PBS yang sebelum ini begitu lantang menentang PSS dan isu-isu berkaitan seperti Pati serta ‘Projek IC’ sudah pasti akan menerima tamparan hebat termasuk hilang kepercayaan penyokong tegar,” katanya kepada FMT.

Lee Kuok Tiung.

Kata Lee, peluang dua parti itu untuk bekerjasama juga dilihat “samar” kerana PBS ketika ini masih terikat dengan sekutu mereka iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“PBS fokus kepada GRS dan sekiranya terjejas (hubungan PBS dengan GRS), ia juga menjejaskan peluang GRS untuk bekerjasama dengan BN (Barisan Nasional) bagi menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya dengan menambah kedua-dua pihak menyedari peluang untuk menang lebih tinggi sekiranya bekerjasama, malah berisiko menghadapi kekalahan sekiranya GRS bertembung dengan BN.

Tambahnya, ketegangan antara PBS dan Umno sebelum ini juga hanya dalam kalangan beberapa pemimpin malah tidak menjejaskan hasrat GRS dan BN untuk sama-sama menghadapi pilihan raya.

Warisan menerusi Presiden Shafie Apdal sebelum ini berulang kali menyatakan minat bekerjasama dengan PBS kerana menganggap perjuangan parti itu ideal dan sesuai dengan perjuangan Warisan.

Awang Azman Awang Pawi.

Presiden PBS Maximus Ongkili juga pernah menyatakan parti itu sedia bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Warisan sekiranya mendatangkan kebaikan kepada rakyat Sabah.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu juga pernah membuat kenyataan bahawa PBS hanya akan mengumumkan kerjasama politiknya apabila tiba masa sesuai walaupun pada ketika itu mereka telah pun menjadi anggota rasmi GRS. Bagaimanapun beberapa hari kemudian, Maximus menegaskan PBS akan kekal bersama GRS yang terdiri daripada Bersatu, STAR, SAPP dan Usno.

Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, kecenderungan Warisan untuk bekerjasama dengan PBS menunjukkan parti itu berharap untuk tidak bergerak bersendirian pada pilihan raya akan datang, terutama di Sabah.

“Mereka (Warisan) mungkin akan menghadapi risiko hilang lebih banyak kerusi jika bergerak sendiri kerana mereka berdepan GRS dengan BN,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *