Permohonan Parti Sertai GRS Diputuskan Oktober Depan – Hajiji

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor (dua, kiri) ketika menyampaikan Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah kepada salah seorang penerima. Turut sama Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif (kanan) dan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar (kiri).

KOTA KINABALU, 26 Julai : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan membuat keputusan mengenai permohonan parti tempatan yang mahu menyertai gabungan itu pada Oktober depan, kata Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketua Menteri Sabah itu berkata isu permohonan beberapa parti untuk menyertai GRS tidak dibincangkan pada mesyuarat minggu lepas, dan akan dibawa pada mesyuarat gabungan itu pada Oktober nanti.

“Jadi di sana nanti (mesyuarat Oktober) baru kita akan putuskan (permohonan) itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah di sini hari ini.

Bulan lepas, Hajiji dilaporkan berkata empat parti tempatan di Sabah telah menyatakan hasrat menyertai GRS, namun beliau tidak menyatakan nama parti-parti berkenaan.

GRS dianggotai lima parti iaitu Bersatu Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), selain membentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir kerajaan Sabah. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *