Bahas Usul Sulu Boleh Dedah Strategi Negara, Kata Speaker Dewan Rakyat

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun tidak membenarkan usul berkait isu Sulu dibahaskan di Parlimen.

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun sekali lagi menolak usul isu berkaitan kesultanan Sulu dan Petronas dibahaskan Ahli Parlimen.

Azhar berkata, membahaskan usul itu boleh mendedahkan strategi pasukan perundangan kerajaan kepada pihak musuh.

“Adakah kita mahu semasa kita membahaskan perkara ini, saya tidak tahu apa yang akan diperkatakan, strategi kerajaan didedahkan dan ada kritikan mengenainya.

“Maka satu pihak lagi boleh membacanya. Apakah itu tidak merosakkan kepentingan kerajaan dalam prosiding itu. Mahu ke kita tunjuk strategi kita pada dunia.

“Peraturan litigasi pertama ialah unsur kejutan, begitu juga peraturan pertama perang,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawabnya tidak membenarkan perkara itu berlaku.

Isnin lalu, Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) digantung dua hari daripada menghadiri persidangan Parlimen selepas diarah keluar Dewan Rakyat oleh Timbalan Speaker, Rashid Hasnon.

Perintah dikeluarkan Rashid selepas Isnaraissah meminta Azhar menjelaskan tindakan menolak usul dikemukakannya berhubung isu tuntutan waris kesultanan Sulu.

Isnaraissah berkata, sudah tiga kali usulnya mengenai isu berkenaan ditolak. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *