Kastam Sabah Rampas RM750,000 Dadah Diedar Guna Bas Ekspress, Kurier

Julaiman (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas sepanjang operasi itu dilaksanakan.

TAWAU : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menggagalkan cubaan pengedaran dadah bernilai kira-kira RM750,000 di Tawau serta Keningau yang cuba dihantar menggunakan bas ekspress dan perkhidmatan kurier dalam operasi sejak sebulan lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Julaimin Soimin berkata dalam Operasi Narkotik Khas Joint Task Force Sempadan Malaysia-Indonesia itu, lima kes rampasan dilakukan di Tawau dan satu rampasan di Keningau.

Beliau berkata dadah yang dirampas adalah jenis Syabu seberat 10.69 kilogram dianggarkan bernilai RM366,878 dan 7 kilogram Ketamin bernilai RM385,000, yang dipercayai cuba dihantar ke Tawau.

“Kawasan operasi adalah melibatkan sempadan laut Malaysia dan Indonesia di Tawau, juga pintu-pintu masuk udara serta darat. Kita komited menangani sebarang aktiviti melibatkan penyeludupan dadah di negeri ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata sejak awal tahun ini 55.33 kilogram dadah jenis Syabu bernilai RM1.992 juta dan 10 kilogram dadah jenis Ketamin bernilai RM550,000 telah dirampas. 

Julaimin berkata orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam berdekatan bagi membantu pihak berkuasa. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *