Bayaran ‘Porter’ Gunung Kinabalu Akan Diselaraskan – Menteri Sabah

KOTA KINABALU : Kadar upah poter atau pembawa barang, di Gunung Kinabalu perlu diselaraskan mengikut kadar yang ditetapkan Taman-Taman Sabah (TTS), kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin.

Beliau berkata TTS menetapkan kadar upah untuk poter yang memberi khidmat membawa barangan untuk pendaki Gunung Kinabalu sebanyak RM13 sekilogram dengan minimum jumlah berat 10 kilogram, manakala poter mengangkat barang keperluan penginapan RM5.50 sekilogram.

Datuk Jafry Ariffin.

Katanya kadar upah poter mengangkat barang keperluan perkhidmatan untuk penginapan dan restoran di gunung itu adalah RM5 sekilogram yang perkhidmatan itu dikendalikan Mountain Torq dan Sutera Sanctuary Lodge.

“Saya mencadangkan agar Sutera Sanctuary Lodge dan Mountain Torq juga dapat mempertimbangkan untuk selaraskan kadar upah yang sama dengan TTS.

“Namun kadar upah poter dan malim gunung akan dibincangkan daripada semasa ke semasa agar mereka juga mampu meningkatkan keseimbangan kerja dan mempunyai standard kehidupan yang lebih baik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jafry berkata dengan kiraan kasar upah RM5 sekilogram, secara purata berat barang diangkat poter sehari adalah 35 kilogram sekali mendaki dan sekiranya Poter mendaki sebanyak 15 kali sebulan purata pendapatan RM2,625, bagaimanapun kekerapan mendaki bergantung kepada kerajinan seorang poter.

Bagaimanapun, katanya laporan daripada TTS memberitahu secara purata seorang poter pendaki Gunung Kinabalu dengan pendakian sebanyak 12 kali sebulan mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM3,540 sebulan.

Sementara itu, beliau berkata untuk kadar upah bagi malim gunung ketika ini adalah RM230 untuk dua hari satu malam dan purata seorang malim gunung mengiring pendaki dalam sebulan adalah sebanyak 13 kali dengan anggaran pendapatan RM2,990.

Pada masa sama, beliau berkata kementeriannya juga telah meluluskan bantuan kewangan secara sekali bayar sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Malim Gunung dan Persatuan Poter Gunung Kinabalu. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *