BN Tidak Terlibat Beri Kad Pengenalan Kepada PATI, Kata Najib

Najib Razak (tengah) dalam sidang media selepas menghadiri program bicara negarawan sempena Konvensyen BN Sabah di Penampang hari ini.

PENAMPANG: Bekas perdana menteri, Najib Razak menafikan Barisan Nasional (BN) terlibat dalam pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) seperti didakwa Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Maximus Ongkili, baru-baru ini.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan BN terdahulu pimpinan beliau melantik pemimpin PBS untuk menyelesaikan masalah Pati di negeri itu.

“Kita tidak terlibat dengan pemberian IC (kad pengenalan kepada PATI), apa yang berlaku pada masa lalu, kita mahu ia diperbetulkan.

“Sebab itu kita letakkan pemimpin PBS untuk menyelesaikannya (masalah Pati di Sabah).

“Bagaimanapun, keutamaan kita sekarang adalah mengukuhkan sempadan negeri ini, mengukuhkan keselamatannya dan meneruskan usaha pembangunan, itu agenda BN,” katanya selepas menghadiri program bicara negarawan sempena Konvensyen BN Sabah.

Suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan pentadbiran Najib pada 2013 bagi menyiasat kebanjiran Pati di Sabah.

Pada 2015, Joseph Pairin Kitingan yang juga presiden PBS ketika itu dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing di Sabah.

Jawatankuasa berkenaan berperanan meneliti laporan dan dapatan RCI dengan tumpuan mengemukakan cadangan penambahbaikan serta mengkaji pelaksanaan sedia ada pengurusan warga asing di Sabah.

Kelmarin, Ongkili dalam Kongres Perwakilan Tahunan PBS mendakwa sebuah parti komponen BN mempergunakan PATI di Sabah demi kepentingan politik mereka.

Tanpa menyebut parti mana dan ketika diterajui siapa, beliau berkata, penglibatan parti terbabit meraih undi daripada PATI terbukti dalam RCI mengenai Pati di Sabah.

Ongkili yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) turut mendakwa BN selama ini gagal menangani masalah PATI di Sabah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *