
GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook mengkritik Shafie Apdal kerana “tidak berprinsip” selepas beliau berkata, Warisan akan bekerjasama dengan gabungan yang memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) untuk memastikan kestabilan politik.
Menerusi program dalam talian, Loke melahirkan kekecewaan terhadap kenyataan presiden Warisan itu dan menyifatkan ia sebagai “tidak masuk akal”.
“Kalau sesuatu gabungan itu dah menang, adakah dia nak bekerjasama dengan parti lain lagi? Kecuali kalau dia tak menang. Baru dia nak bekerjasama.
“Saya berasa dukacita dengan kenyataan tersebut. Saya rasa ini satu pandangan yang mungkin nampak macam tak berprinsip, yang pertama. Yang Kedua, tak masuk akal,” kata Ahli Parlimen Seremban itu.
Ahad lalu, media melaporkan Shafie sedia bekerjasama dengan mana-mana gabungan politik yang memenangi PRU15 bagi memastikan kestabilan politik dan menjaga kepentingan rakyat.
Bekas ketua menteri Sabah itu berkata, ini kerana gabungan yang menang dipilih oleh rakyat dan dengan bekerjasama dengan mereka, Warisan menunjukkan bahawa ia menghormati pilihan mereka.
Bagaimanapun, Shafie menegaskan ia harus menjadi kerjasama yang bijak dan adil, dan mesti mengutamakan kepentingan rakyat. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost