Pemuda Warisan Bimbang Lebih Ramai PATI ‘Putihkan Diri’ Mohon Kad Warga Asing

Ketua Pemuda Warisan Azis Jamman menuntut kerajaan negeri mendedahkan jumlah sasaran sebenar pengeluaran kad warga asing.

KOTA KINABALU: Pengeluaran kad warga asing Sabah didakwa hanya menggalakkan lagi kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negeri ini, kata Ketua Pemuda Warisan Azis Jamman.

Katanya, Pati yang masuk ke Sabah dengan menggunakan lorong tikus mungkin boleh “memutihkan diri” dengan hanya memohon kad berkenaan yang dicadangkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bagaimanapun pada dasarnya bersetuju penggunaan satu dokumen tunggal, beliau berkata, ia mampu menyelesaikan masalah ketiadaan penyelarasan tiga dokumen rakyat asing di negeri ini yang dikeluarkan tiga agensi berbeza iaitu Kad Burung-Burung oleh Jabatan Ketua Menteri (JKM), Sijil Banci oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pas IMM13 oleh Jabatan Imigresen.

“Namun, apa rasional pengeluaran kad warga asing di Sabah kerana ini akan menggalakkan lagi lebih ramai Pati masuk secara haram ke negeri ini melalui lorong tikus kerana apabila Pati berkenaan sudah berada di Sabah, mereka hanya perlu memutihkan diri mereka dengan memohon pula kad warga asing?” katanya dalam kenyataan.

Azis yang juga bekas timbalan menteri dalam negeri, berkata Pas Sementara Sabah (PSS) dicadangkan kerajaan terdahulu berbeza dengan kad warga asing walaupun mempunyai matlamat sama.

Katanya, jumlah individu yang sepatutnya diberikan PSS adalah 136,055 pemegang berdaftar dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di Sabah, manakala mereka yang didapati masuk secara haram dan menggunakan dokumen palsu akan ditangkap, seterusnya dihantar pulang.

“Persoalannya sekarang, mereka yang dahulunya membantah PSS dengan alasan kononnya akan menggalakkan lebih ramai PATI masuk secara haram ke Sabah kini boleh pula menerima kad warga asing yang jelas jauh lebih longgar berbanding PSS dahulu,” katanya.

Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata untuk rekod, 136,055 pemegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci itu adalah jumlah dikenal pasti pemegang dokumen tulen yang telah dikeluarkan sejak zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) lagi.

Mengulas lanjut, Azis berkata, matlamat PSS adalah memansuhkan ketiga-tiga dokumen berkenaan dan menggantikannya dengan satu kad sahaja bagi membolehkan pihak penguatkuasa seperti Jabatan Imigresen membuat penguatkuasaan dan memburu Pati yang masuk secara haram.

“Maka, atas sebab itu, adalah penting untuk kerajaan menyatakan jumlah sasaran sebenar rakyat asing di Sabah bagi pengeluaran kad warga asing ini,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *