Pemandu e-Hailing & Rakan Dipenjara Kerana Rompak Penumpang

Ziana (dua dari kanan) dan Hamzah (dua dari kiri) dihukum penjara dan sebat selepas mengaku salah melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata di Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini.

TAWAU: Seorang pemandu e-hailing dihukum penjara 10 tahun, manakala rakannya dikenakan hukuman sama selama 11 tahun bersama enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, selepas mengaku salah melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang lelaki.

Hukuman diputuskan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud selepas kedua-dua tertuduh, Ziana Abdul Zain, 27 dan Hamzah Syed Hamid, 26 mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersama seorang lagi rakan yang masih bebas ke atas harta milik Mohd Rizwan Evaristus, 27, iaitu satu unit telefon bimbit jenama Vivo ketika mangsa menggunakan perkhidmatan e-hailing dipandu Ziana di hadapan sebuah hotel, di pusat bandar dekat sini, jam 3.36 pagi pada 14 Jun lalu.

Semasa rompakan, Ziana yang juga warga Filipina berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI) memandu kenderaan jenis Proton Gen2 bersama dua lelaki termasuk Hamzah bersembunyi di tempat duduk belakang, sebelum seorang daripadanya mengacukan senjata berbahaya (pisau) kepada mangsa.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira trauma dilalui mangsa ketika bergelut menyelamatkan diri semasa hari kejadian, selain kesalahan dilakukan amat serius serta demi kepentingan awam.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bagaimanapun dalam rayuan masing-masing memohon hukuman diringankan.

Awang Kerisnada menetapkan hukuman penjara bermula tarikh mereka ditangkap iaitu 15 Jun lalu, selain memerintahkan Ziana dirujuk kepada Jabatan Imigresen sebaik selesai menjalani hukuman untuk di usir pulang ke negara asal. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *